Kem Pemimpin Green 5-8 Dis ini

Kem Pemimpin Green 5-8 Dis ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Green Brunei mengalu-alukan belia berusia antara 16 hingga 25 tahun menyertai Kem Pemimpin Green yang akan dianjurkan bermula 5 hingga 8 Disember ini di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.

Kem yang bertemakan ‘Pembangunan Pelancongan Berdaya Tahan’ itu diadakan berhasrat untuk melatih pemimpin-pemimpin belia dan pergerakan belia, menerusi pendedahan isu-isu dan usaha persekitaran yang diketuai oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini. Ia juga bermatlamat untuk memperkasa para peserta melalui pelbagai bengkel seperti kesukarelawanan, pengurusan projek, ancaman persekitaran dan pemuliharaan dan banyak lagi. Para peserta juga diharap secara kritis akan menilai masalah persekitaran yang dihadapi negara dan mencari penyelesaian berpotensi bagi masalah-masalah itu menerusi perundingan dan kegiatan.

Program tersebut akan meliputi topik-topik seperti Pelancongan Berdaya Tahan, Pemasaran dan Penceritaan Digital, Keusahawanan Belia dan banyak lagi. Para peserta juga akan terlibat dengan pelbagai stakeholder seperti jabatan-jabatan kerajaan, syarikat swasta dan pengendali pelancong. Menerusi penglibatan ini, kem tersebut akan menumpu pada membina kemampuan belia, untuk membolehkan mereka mengambil tindakan dalam usaha mereka ke arah mengekalkan persekitaran dan memastikan daya ketahanan sumber semula jadi kita. Sehingga kini, sebanyak 95 belia telah menyertai acara ini dan tujuh buah kumpulan alumni telah berjaya melaksanakan projek selepas acara ini.

Kem ini terhad kepada 30 orang peserta sahaja. Pemilihan akan dinilai berdasarkan pengalaman mereka atau minat pada pemuliharaan persekitaran dan kemahiran kepimpinan.

Para peserta boleh mendaftar di http://green-brunei.com/glc atau melalui laman Facebook Green Brunei. Bayaran pendaftaran ialah sebanyak $25 seorang termasuk makanan, insurans, sijil, penginapan dan bahan program. Tarikh akhir bagi pendaftaran tersebut ialah pada 24 November ini. Bagi pertanyaan selanjutnya, para pemohon boleh menghubungi Firdaus di talian 8365070 atau e-mel ke firdaus.ismail@green-brunei.com

ARTIKEL YANG SAMA