Kem pendatang di Athens terbakar

Kem pendatang di Athens terbakar

ATHENS, 20 Sept – Beribu-ribu pendatang terpaksa melarikan diri semalam apabila perkemahan mereka di pulau Yunani Lesbos rosak teruk akibat kebakaran yang dilakukan dengan sengaja, kata polis.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan tetapi khemah di kem Moria itu “hampir kesemuanya musnah” dan tempat perlindungan kontena yang menyediakan penginapan tambahan dan perkhidmatan kesihatan serta pendaftaran telah rosak, menurut sumber polis di Athens kepada AFP.

Anggota bomba telah dihalang untuk menangani kebakaran awal itu oleh kerana pertempuran yang tercetus di kalangan pendatang di perkemahan tersebut, menurut laporan.

“Antara 3,000 dan 4,000 pendatang melarikan diri dari kem Moria,” ke kawasan selamat di sekitarnya, dengan angin kencang menyemarakkan lagi api yang turut menghalang anggota bomba memadamkan kebakaran, kata sumber polis.

Walau bagaimanapun, apabila berada di tempat kejadian, anggota bomba berjaya mengawal api kebakaran. Polis telah dihantar ke kawasan kejadian bagi proses mengembalikan mereka ke kem itu, kata pegawai.

Polis rusuhan mengawal tempat kejadian apabila api besar membakar kem pelarian Moria di pulau Greek timur laut Lesbos, kelmarin. – AP
Polis rusuhan mengawal tempat kejadian apabila api besar membakar kem pelarian Moria di pulau Greek timur laut Lesbos, kelmarin. – AP

Pegawai itu berkata “tidak syak lagi” bahawa api telah dimarakkan dengan sengaja oleh penghuni di dalam kem itu. Pendatang-pendatang di kem telah dipindahkan ke perkampungan kanak-kanak di pulau itu, kata pegawai tersebut.

Terdahulu, pada awal kelmarin, ketegangan meningkat di Moria apabila khabar angin mengatakan bahawa para pendatang akan dihantar pulang beramai-ramai ke Turki, menurut laporan agensi negeri ANA. Akan tetapi kehadiran polis yang berkuatkuasa di kem itu menenangkan kemarahan, menurut pegawai tersebut.

Dua lagi kebakaran berlaku di kebun zaitun berhampiran Moria tetapi telah berjaya dikawal sebelum kebakaran ketiga meletus di kem itu. Kini terdapat lebih daripada 60,000 pelarian dan pendatang di Greece, sebahagian besar daripada mereka adalah yang ingin melakukan perjalanan ke Jerman dan negara-negara EU.

Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian selepas beberapa negara-negara Eropah dan Timur Balkan menutup sempadan mereka pada awal tahun ini. Kumpulan hak asasi manusia telah berulang kali mengkritik keadaan kem asing Greek, yang memperlihatkan kesesakan dan keadaan hidup yang tidak bersih. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA