Kem. Pendidikan mulakan kunjungan berdikir

Kem. Pendidikan mulakan kunjungan berdikir

Oleh Pg Fairol RMF

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis – Bagi menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W 1438 Hijrah, rombongan daripada Kementerian Pendidikan telah memulakan majlis berdikir ke masjid-masjid di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, hari ini.

Rombongan berkenaan telah diketuai oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut serta ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Majlis dimulakan dengan sembahyang fardu Maghrib berjemaah yang dipimpin oleh Awang Zulkifli bin Haji Murad sebelum diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin dan bacaan Dikir Syarafil Anam.

Kemudian majlis diteruskan dengan sembahyang Fardu Isyak sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan.

Menteri Pendidikan mengetuai rombongan Kementerian Pendidikan bagi majlis berdikir ke masjid-masjid.
Menteri Pendidikan mengetuai rombongan Kementerian Pendidikan bagi majlis berdikir ke masjid-masjid.
Antara yang menghadiri majlis itu.
Antara yang menghadiri majlis itu.

Majlis tersebut merupakan aktiviti tahunan Kementerian Pendidikan dengan tahun ini ia dikendalikan oleh Jabatan Perkembangan Kurikulum dan Unit Hal Ehwal Antarabangsa serta Urus Setia Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan, Negara Brunei Darussalam.

Ia antara lain bertujuan untuk menggalakkan warga kementerian untuk terus berselawat dan memuji junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W, di samping menunjukkan rasa kasih sayang terhadap jasa-jasa Baginda yang telah memancarkan cahaya dan roh Islam kepada umat Islam.

Di samping itu, majlis juga bertujuan untuk mengeratkan lagi tali silaturahim antara pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Pendidikan.

Rombongan Kementerian Pendidikan akan meneruskan majlis dikir berkenaan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong pada 4 Disember ini.

ARTIKEL YANG SAMA