Kemahiran abad ke-21 perlu

Kemahiran abad ke-21 perlu

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Kemahiran abad ke-21 bagi pelajar-pelajar pada masa ini bukan sahaja amat penting tetapi ia merupakan kemahiran yang perlu ditekankan serta harus dimiliki oleh mereka supaya mampu untuk bersaing dan menangani pelbagai jenis cabaran yang wujud pada masa ini.

Perkara itu di antara yang ditekankan oleh Profesor Pendidikan dan Inovasi, University of Bath Spa, United Kingdom, Profesor Grainne Conole ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Creative Quality Education: Enhancing Innovative Teaching and Learning’ semasa Simposium Antarabangsa bagi Pembelajaran dan Pengajaran Inovatif Politeknik Brunei Ke-2 yang berlangsung di Universiti Brunei Darussalam, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat dan merasmikan simposium berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Simposium dua hari itu disertai oleh kira-kira 200 orang yang terdiri daripada guru-guru dan pensyarah dari sekolah dan institusi pengajian di Negara Brunei Darussalam.

Profesor Grainne Conole (kiri sekali) bersama Yang Berhormat Pehin semasa majlis berkenaan.
Profesor Grainne Conole (kiri sekali) bersama Yang Berhormat Pehin semasa majlis berkenaan.
Antara yang menghadiri perasmian simposium dua hari itu.
Antara yang menghadiri perasmian simposium dua hari itu.

Profesor Conole menjelaskan bahawa pendidikan pada masa ini merangkumi penggunaan teknologi bukan sahaja sebagai alat bantu pengajaran dan pembelajaran tetapi ia juga amat penting sebagai alat kehidupan seharian di mana para pelajar boleh mendapatkan pelbagai jenis ilmu pengetahuan melalui penggunaan teknologi terkini.

Perkembangan teknologi itu bukan sahaja menjadikan memperoleh ilmu pengetahuan lebih mudah tetapi ia juga memerlukan penekanan untuk guru-guru mempunyai kemahiran menggunakan teknologi berkenaan bagi memastikan pembelajaran para pelajar adalah lebih menarik dan sesuai dengan keperluan mereka.

Terdahulu daripada itu, Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Awang Denis Ho Mun Tai dalam kata alu-aluannya menjelaskan bahawa simposium yang dilaksanakan oleh Pusat bagi Pembelajaran dan Pengajaran Inovatif, Politeknik Brunei itu bermatlamat untuk mempromosikan penggunaan berterusan kaedah pendekatan pembelajaran dan pengajaran bersepadu.

Beliau menerangkan, simposium yang membawa tema ‘Memperkasakan strategi-strategi pengajaran dan pembelajaran inovatif di pendidikan tinggi’ itu mengetengahkan perkembangan sistem pendidikan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini menerusi rekaan, peralatan dan teknologi inovatif.

Tambahnya lagi, Politeknik Brunei akan terus berusaha untuk menerima perubahan yang dibawa oleh perubahan berterusan daripada penggunaan teknologi dengan memastikan bahawa pendekatan pengajaran dan pembelajaran inovatif akan diguna pakai oleh semua pensyarah dalam mengendalikan pengajaran mereka.

Dalam hubungan itu, beliau amat optimis bahawa para peserta simposium akan meneroka dan mengguna pakai amalan-amalan yang terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran inovatif yang diperoleh menerusi seminar dan bengkel sepanjang simposium dua hari itu supaya akan terus dapat memastikan pelajar-pelajar mereka terima terpaku dan tertarik kepada pelajaran mereka.

Pada masa yang sama, beliau percaya bahawa mereka juga akan terus meneroka peralatan, teknologi dan media yang sesuai yang boleh membantu para guru dan pensyarah untuk menyampaikan pengajaran mereka dengan lebih efektif bagi pelajar-pelajar mereka supaya dapat mencapai keputusan yang diingini bagi pelajar-pelajar berkenaan.

Simposium itu mengetengahkan sesi perkongsian maklumat dan bengkel oleh pakar-pakar pendidikan inovatif dari luar negara termasuk Profesor Conole dan dua pakar dari rantau ASEAN iaitu Profesor Madya Low Ee Ling dari Nanyang Technological University, Singapura dan Dr David Asirvatham dari University of Malaya, Malaysia.

Simposium itu dihasratkan untuk memberikan peluang kepada para peserta mendapat maklumat mengenai penggunaan sistem pengurusan pembelajaran dalam membantu pembelajaran pelajar-pelajaran mereka di bilik darjah dan secara dalam talian (online).

ARTIKEL YANG SAMA