Kemahiran dalam rundingan

Kemahiran dalam rundingan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – Dewan Peguam Negara (AGC) pada masa ini sedang mengadakan satu kursus dengan tajuk “Latihan Kemahiran Rundingan” yang bermula hari ini hingga esok.

Kursus ini antara lain adalah bagi memahirkan diri dalam rundingan yang boleh digunakan di serata dunia dalam dunia korporat, perkhidmatan awam, dan malah kehidupan peribadi kita.

Di tempat kerja, kita kadangkala mendapati hasil mungkin lebih berkesan dicapai menerusi pujukan, penyesuaian dan persetujuan dan bukannya dengan kuasa eksekutif. Seperti kebanyakan kemahiran lain, kemampuan untuk menunjukkan prestasi dalam rundingan ditentukan oleh beberapa kombinasi kemampuan semula jadi, pengalaman dan latihan formal. Seorang penceramah jemputan telah dijemput bagi kursus ini iaitu Pavan Sharma dari Advance Supply Chain Solution Pte Ltd (Singapura).

Peserta-peserta kursus bergambar ramai bersama penceramah jemputan Pavan Sharma.
Peserta-peserta kursus bergambar ramai bersama penceramah jemputan Pavan Sharma.

Antara lain kursus ini juga menyediakan pengenalan dua hari yang intensif mengenai analisis rundingan dan amalan. Bengkel ini menggunakan simulasi rundingan, kajian kes dan perbincangan berkumpulan untuk menekankan aplikasi praktikal isu yang dibincangkan. Latihan akan meliputi pelbagai topik: pendekatan utama dalam rundingan persetujuan komersial; persiapan bagi rundingan dengan pertubuhan luar; membuat penilaian dan meningkatkan rundingan komersial; isu-isu undang-undang dalam pembentukan perjanjian; dan persetujuan dan penilaian rundingan. Latihan akan berakhir dengan kuiz. Pada akhir latihan, para peserta akan mempunyai rangka konsep, yang akan membantu mereka merubah pengalaman rundingan mereka sendiri menjadi kepakaran.

Kursus ini dihadiri oleh para pegawai dari Divisyen Sivil, Divisyen Keadilan Jenayah, Divisyen Hal Ehwal Antarabangsa, dan Divisyen Merangka Perundangan, Dewan Peguam Negara.

ARTIKEL YANG SAMA