Kemahiran, pengalaman kerja jadi kriteria

Kemahiran, pengalaman kerja jadi kriteria

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Feb – Kemahiran praktikal dan pengalaman kerja merupakan antara ciri yang dilihat oleh para majikan ketika menemu bual calon-calon bagi mengisi kekosongan pekerjaan yang ditawarkan.

Mereka yang mempunyai kelulusan akademik sahaja adalah tidak mencukupi yang mana kemahiran dan pengalaman praktikal boleh memberikan para calon atau pencari kerja kelebihan apabila mereka hadir dalam sesi temu duga.

Perkara itu antara yang dikemukakan oleh para majikan dalam sesi maklum balas yang diterima oleh K-MAS Management Sdn Bhd, jelas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pembangunan Perniagaan, K-MAS Management Brunei Corporation, Awang Daniel Kumar kepada Media Permata semasa Kursus Buku Kira-kira, Bookkeeping the Fun Way, yang berlangsung di Dewan Serba guna, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, di ibu negara, kelmarin.

Awang Daniel Kumar berkata, hasil daripada maklum balas itu, Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK) dan K-MAS Management telah menganjurkan bersama kursus buku kira-kira berkenaan bagi Kumpulan Pertama kira-kira 70 pencari kerja yang berdaftar dengan APTK.

Para peserta diberikan pendedahan kepada asas kemahiran dan ilmu pengetahuan buku kira-kira menggunakan teknik pembelajaran yang unik.
Para peserta diberikan pendedahan kepada asas kemahiran dan ilmu pengetahuan buku kira-kira menggunakan teknik pembelajaran yang unik.

Kursus yang dikendalikan secara percuma oleh tenaga pengajar dari K-MAS Management itu, jelasnya lagi, adalah sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat sosial syarikatnya dengan harapan agar para peserta akan mendapat pengalaman praktikal mengenai bidang buku kira-kira yang berguna yang boleh dipraktikkan apabila mereka mendapat kerja nanti.

Sebagai sebuah syarikat konsultan perniagaan, pihak mereka sering menerima maklum balas daripada klien mereka, bahawa salah satu kekurangan para pencari kerja baru iaitu lepasan institusi pengajian adalah mereka kurang mempunyai pengalaman praktikal.

Oleh itu, tambahnya, dengan mengikuti sesi kursus percuma itu, para pencari kerja akan diberikan pengalaman praktikal yang berguna serta mampu memberikan mereka kelebihan terutama apabila mencari kerja nanti.

Kursus itu diharap dapat memberikan ilmu pengetahuan asas buku kira-kira dan ilmu pengetahuan kewangan kepada para peserta dengan menggunakan kaedah yang unik serta bahan-bahan pembelajaran yang melibatkan penyertaan daripada semua peserta kursus agar mereka dapat memahami konsep kewangan secara mudah.

Pengerusi daripada K-MAS Management, Dr Aziz Latip dipetik sebagai berkata, adalah menjadi visi syarikat mereka untuk membantu dan mendidik orang ramai bagi mencapai kecemerlangan serta meningkatkan prestasi mereka.

Kursus itu juga merupakan salah satu usaha K-MAS Management untuk menyokong serta membantu mengurangkan kadar pengangguran pada masa ini dengan memberikan para peserta kursus kemahiran dan sikap yang bertepatan dengan kerja mereka supaya dapat meningkatkan lagi daya saing mereka khususnya dalam menghadapi cabaran-cabaran dan senario kerja sebenar.

Sesi kursus itu akan diadakan bagi Kumpulan Kedua pada 24 Februari nanti, Kumpulan Ketiga pada 2 Mac dan Kumpulan Keempat pada 9 Mac nanti.

Orang rami yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kursus-kursus yang ditawarkan oleh APTK bolehlah melayari laman sesawang, http://www.jobcentrebrunei.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA