Kemahiran perancangan kewangan penting

Kemahiran perancangan kewangan penting

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) – Kemahiran perancangan kewangan perlu dipupuk di kalangan generasi muda kerana ia adalah proses seumur hidup, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap.

“Kita mempunyai pelbagai program di Malaysia mengenai pengurusan kewangan. Tetapi kesedaran di kalangan orang rami berkaitan perkara itu adalah rendah.

Oleh itu apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah mendidik generasi muda dengan tabiat kewangan pintar,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Cabaran Komik Kewangan AEIOU (Cabaran AEIOU) di sini, hari ini.

Menurut Mary, usaha itu akan membantu mereka membuat keputusan kewangan yang baik di samping bebas daripada hutang pada masa depan.

Mary berkata, golongan belia adalah antara mereka yang gagal membayar balik pinjaman yang boleh menyebabkan mereka muflis. Sementara itu, Cabaran AEIOU yang dianjurkan Alliance Bank sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat, adalah peraduan melukis yang menggunakan komik dengan cara yang menarik dan interaktif bagi menyemai celik kewangan di kalangan pelajar.

“Tabiat kewangan yang baik boleh melindungi kanak-kanak daripada membuat keputusan buruk pada masa depan dan memberi kesan positif kepada kualiti hidup ketika mereka dewasa,” kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Alliance Bank, Raymund Leung.

Menurutnya, Alliance Bank telah memulakan jelajah Cabaran AEIOU di sekolah terpilih di seluruh negara pada 23 Mac lepas.

ARTIKEL YANG SAMA