Kemahiran STEM perlu dipertingkatkan

Kemahiran STEM perlu dipertingkatkan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Sebanyak 20 kumpulan, terdiri daripada sekolah-sekolah rendah dan menengah menerima wang modal berjumlah $5,500 bagi membangun projek-projek mereka untuk Pertandingan Permainan Berasaskan – Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Setiap kumpulan sekolah rendah masing-masing mendapat $250, manakala kumpulan bagi sekolah-sekolah menengah mendapat $300, masing-masing.

Wang modal tersebut diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Brunei Berhad (TelBru), David Kay kepada Setiausaha Tetap Pendidikan Teras, Kementerian Pendidikan, Dr Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman selaku wakil Pusat Usahasama Sains, Kejuruteraan dan Persekitaran (STEP).

Majlis berlangsung di Bilik Persidangan Sejahtera, Kelab Rekreasi Royal Brunei (RBRC) hari ini.

Berucap pada majlis tersebut, Dr Haji Junaidi berkata, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengiktiraf kepentingan sains, teknologi dan inovasi bagi Rancangan Kemajuan Negara ke-10 (2012-2017) sebagai teras strategik pembangunan.

Dr Haji Junaidi memberikan wang modal kepada satu daripada kumpulan dari sekolah rendah
Dr Haji Junaidi memberikan wang modal kepada satu daripada kumpulan dari sekolah rendah
David Kay menyerahkan replika cek sumbangan kepada Dr Haji Junaidi
David Kay menyerahkan replika cek sumbangan kepada Dr Haji Junaidi

Sehubungan dengan itu, katanya, Kementerian Pendidikan telah mengimplementasikan beberapa inisiatif yang termasuk meningkatkan penyediaan dan penyampaian subjek-subjek yang berkaitan dengan STEM di sekolah-sekolah.

“Salah satu cara yang standard ialah dengan terus memastikan kualiti guru kerana ramai yang percaya bahawa guru merupakan agen penting untuk menyampaikan pengetahuan baru kepada pelajar-pelajar,” ujar beliau.

Dr Haji Junaidi berkata, terdapat pelbagai inisiatif pembinaan kapasiti untuk meningkatkan kecekapan guru dalam pengajaran mata pelajaran yang penting seperti matematik dan sains telah pun dilaksanakan. Dua projek yang masa ini diadakan ialah Projek Inisiatif Numerasi (NIP) dan Projek Pendidikan Sains Berasaskan Inkuiri (IBSE).

Ia merupakan sesuatu yang mencabar dalam memberikan dorongan dan kesedaran kepada para pelajar untuk menceburi subjek-subjek berkaitan dengan STEM pada peringkat menengah dan juga institusi pendidikan tinggi.

“Apa yang saya ketahui, kami belum lagi mencapai 30% daripada kohort untuk pelajar kita memasuki aliran sains dan ini merupakan satu kebimbangan dalam masa 20 tahun yang akan datang,” jelas Dr Haji Junaidi.

Kementerian Pendidikan berpendapat, adalah menjadi kewajipan untuk memberi pendedahan yang mencukupi dan relevan terhadap pengetahuan sains, teknologi dan matematik untuk pelajar-pelajar di peringkat awal usia lagi.

“Kami memahami bahawa di peringkat global, kumpulan pakar atau tenaga kerja dengan pengetahuan dan kemahiran STEM adalah sangat diperlukan. Banyak negara maju dan membangun telah memulakan usaha untuk menggalakkan lebih ramai pelajar muda untuk berminat dalam STEM dan pelajaran-pelajaran yang berkaitan dengannya.”

Usaha ini juga melibatkan penyertaan sektor swasta seperti perniagaan dan industri terutamanya yang memerlukan tenaga kerja yang pakar dalam STEM.

Pertandingan Permainan Berasaskan STEM ini adalah merupakan usahasama strategik TelBru dan Pusat STEP, Kementerian Pendidikan bagi menyokong dan mempromosikan pembangunan STEM kepada para pelajar di negara Brunei Darussalam.

David Kay dalam ucapan alu-aluannya pula berkata, sebagai sebuah syarikat telekomunikasi yang sedang berkembang, TelBru memerlukan profesional STEM yang dapat membantu membangun industri negara.

“Kita perlu menjadi inovatif dan berdaya saing untuk menjana idea-idea baru, produk dan perkhidmatan di seluruh industri. Untuk itu, kami memerlukan anak-anak muda yang mempunyai kemahiran dalam pembangunan modal insan pada masa hadapan.”

ARTIKEL YANG SAMA