Kemajuan kewangan Islam Malaysia diketengahkan pada Forum CHOGM

Kemajuan kewangan Islam Malaysia diketengahkan pada Forum CHOGM

VALLETTA, Malta, 27 Nov (Bernama) – Kemajuan sistem kewangan Islam Malaysia adalah antara perkara yang diketengahkan pada Forum Perniagaan Komanwel yang berlangsung di sini pada 25 hingga 26 Nov.

Memandangkan Malaysia berada di barisan hadapan dalam kewangan Islam, forum itu, yang merupakan bahagian penting pada Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2015, akan membincangkan tentang apa yang boleh dilakukan untuk menyokong akses kepada kewangan Islam dan potensinya untuk inovasi masa depan, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Pelbagai Hala) Kementerian Luar Datuk Ho May Yong.

“Malaysia menghantar beberapa perwakilan untuk menjelaskan perkara itu termasuk Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Bakaruddin Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Datuk Shahril Ridza Ridzuan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada November, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Ke-11 di Kuala Lumpur, bahawa Malaysia, sebagai peneraju dalam kewangan Islam, boleh menawarkan pengalaman dan terus menyumbang kepada ekonomi global.

Pada Mei, Najib mengumumkan tentang kejayaan Malaysia dalam penetapan harga AS$1.5 bilion sukuk global yang telah mengukuhkan kedudukan negara sebagai pusat antarabangsa bagi kewangan Islam.

Sidang Kemuncak CHOGM dihadiri ketua-ketua kerajaan negara anggota bagi membincangkan isu global dan Komanwel. – Reuters
Sidang Kemuncak CHOGM dihadiri ketua-ketua kerajaan negara anggota bagi membincangkan isu global dan Komanwel. – Reuters

Terbitan berkenaan terdiri daripada Sijil Amanah (Sukuk) penanda aras 30 tahun pada AS$500 juta dan 10 tahun pada AS$1 bilion.

CHOGM, sidang kemuncak dua tahun sekali, merupakan platform penting bagi ketua-ketua kerajaan negara anggota untuk bersama-sama membincangkan isu global dan Komanwel, dan untuk membuat keputusan mengenai dasar dan inisiatif kolektif. CHOGM di Malta akan menangani isu-isu seperti perubahan iklim, penghijrahan, keganasan dan radikal, membina daya tahan di negara-negara kecil, pembangunan mampan, memperkasakan belia, kesaksamaan gender dan hak kemanusiaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang akan mengetuai delegasi Malaysia, dijangka tiba esok.