‘Kemalangan’ di stesen minyak terkawal

‘Kemalangan’ di stesen minyak terkawal

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 8 Jun – Sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Sungai Liang dan beberapa kakitangan paramedik Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait telah dikejarkan ke Stesen Perkhidmatan Minyak Lumut (LPSS), Belait setelah menerima panggilan kecemasan mengenai ‘kemalangan’, kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Dalam ‘insiden’ berkenaan, sebuah lori tangki minyak hilang kawalan akibat brek tidak berfungsi dan merempuh sebuah kereta salun yang mengisi minyak di stesen berkenaan.

‘Pelanggaran’ itu menyebabkan tumpahan minyak dan kebakaran, manakala itu seorang pekerja terperangkap di antara dua buah kereta semasa menjalankan tugas mengepam minyak untuk kereta salun berkenaan.

Dua atendan pam minyak lain kemudiannya cuba membantu mangsa yang terperangkap sementara menanti bantuan tiba.

Situasi mencemaskan ini merupakan Latihan Kecemasan ‘Operasi Tangkas’ yang dikendalikan oleh Syarikat Mashhor Waste Management Sdn Bhd (MWMSB) dan diadakan di kawasan Stesen Minyak LPSS.

Kakitangan Balai Bomba Sungai Liang mengeluarkan mangsa dari terperangkap di bawah kereta salun semasa operasi tangkas tadi.
Kakitangan Balai Bomba Sungai Liang mengeluarkan mangsa dari terperangkap di bawah kereta salun semasa operasi tangkas tadi.

Latihan tersebut merupakan kerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Operasi B Cawangan Daerah Belait, Balai Polis Sungai Liang dan anggota paramedik Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait.

Antara objektif latihan adalah untuk menguji Pelan Tindakan Kecemasan selain untuk menilai kecekapan tindakan pembantu kecemasan dan marsyal bomba syarikat berkenaan dalam menangani kejadian kecemasan yang berlaku di sekitar tempat bekerja.

Latihan tersebut dikendalikan bersama oleh Penasihat Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE)/Penyelaras Krisis Kecemasan MGCSB merangkap Penyelaras HSSE, Awang Mohd Rizal bin Dr Haji Abdul Latif; pasukan dari Balai Bomba Sungai Liang yang diketuai oleh Komandan Erang Anak Japang; Ketua Paramedik Mohd Shahrin bin Haji Jumat; Pasukan Polis Trafik dari Balai Polis Sungai Liang yang diketuai oleh Inspektor Mohd Sofian bin Haji Kipli; dan Ketua Pegawai Eksekutif MWMSB, Malai Shamil Faris bin Haji Malai Abd Hamid serta Eksekutif Operasi, Awang Kamal bin Abdullah.

Selain it juga, Pengurus Stesen Minyak LPSS, Awang Mohd Saifurahman; Penolong Penguasa Pemangku Timbalan Pemerintah dari Cawangan Operasi ‘B’ Daerah Belait, Wan Julaini bin Wan Ibrahim; Komandan Stesen Balai Bomba Sungai Liang Superintenden Muhammad Ali nin Hassan, Komander Tempat Kejadian, Awang Khairil Adli bin Abdullah Capitan; berserta dua kakitangan dari Brunei Shell Marketing Sdn Bhd iaitu Pengiran Haji Shariful bin PSI Pengiran Haji Ismail dan Dayang Siti Fairuzhaironnie binti Dato Paduka Haji Wahab.