Kemalangan jalan raya meningkat

Kemalangan jalan raya meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Sebanyak 272 kes kemalangan jalan raya, dengan tiga kes melibatkan lima kematian, telah dilaporkan oleh Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei, sepanjang bulan Ogos lalu.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh JSKLL, sebanyak 172 kes termasuk tiga kes melibatkan kematian telah dicatatkan di Daerah Brunei dan Muara, 38 kes di Daerah Tutong dan 62 di Daerah Belait, manakala itu tiada kes kemalangan dilaporkan di Daerah Temburong.

Sementara itu, laporan hasil penguatkuasaan lalu lintas JSKLL pula mencatatkan sebanyak 715 kes pelbagai kesalahan lalu lintas, termasuk 210 kes doket dan 505 kes kompaun, dalam 35 operasi penguatkuasaan yang dijalankan sepanjang bulan itu.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 627 kes direkodkan oleh JSKLL Gadong dalam 20 operasi, manakala JSKLL cawangan Batu 3 Belait merekodkan 88 kes dalam 15 operasi.

Kesalahan tertinggi yang dicatatkan adalah memandu melebihi had laju yang ditetapkan sebanyak 116 kes dan cukai jalan mansuh sebanyak 115 kes.

Sehubungan dengan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei sekali lagi menasihatkan para pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas di negara ini di samping meningkatkan keselamatan serta berhati-hati ketika berada di jalan raya terutama sekali dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati, berwaspada dan mematuhi peraturan lalu lintas yang dikuatkuasakan agar kemalangan dapat dielakkan.

ARTIKEL YANG SAMA