Kemalangan kereta api di AS

Kemalangan kereta api di AS

WASHINGTON, 4 April (AFP) – Sebuah kereta api tergelincir dari landasan apabila ia merempuhi jengkaut di laluan selatan Philadelphia pada Ahad lalu, telah membunuh dua orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain.

Kereta api The Amtrak, yang sedang dalam perjalanan dari New York ke Savannah, Georgia di koridor kereta api yang sibuk di timur laut Amerika Syarikat, telah merempuh jengkaut dan mengorbankan dua pekerja pembinaan laluan kereta api, menurut laporan media dan laporan rasmi.

Tingkap hadapan kereta api yang membawa hampir 350 penumpang dan anak kapal itu pecah dalam kejadian itu, yang berlaku di bandar Chester, Pennsylvania sejurus sebelum 08:00 pagi (1200 GMT).

Travis Thomas, Pesuruhjaya kebakaran Chester berkata, 35 orang menerima rawatan hospital bagi kecederaan ringan.

“Penumpang telah dihalakan semula kembali ke Philadelphia dengan bagasi mereka,” katanya.

Kakitangan kecemasan memeriksa tempat kejadian selepas kereta api penumpang Amtrak merempuh jengkaut, membunuh dua orang, di Chester, Pennsylvania, Ahad. – Reuters
Kakitangan kecemasan memeriksa tempat kejadian selepas kereta api penumpang Amtrak merempuh jengkaut, membunuh dua orang, di Chester, Pennsylvania, Ahad. – Reuters

Amtrak tidak segera memberikan butiran lanjut mengenai mangsa yang terkorban itu.

Dalam satu kenyataan, Amtrak berkata kereta api Palmetto 89 merempuh jengkaut yang berada di atas landasan, menggelincirkan enjin utama kereta api tersebut. Pasukan penyelamat bergegas ke tempat kejadian dan Amtrak melancarkan talian kecemasan bagi orang ramai.

Jurucakap Amtrak, Stephen Gardner, memberitahu pemberita bahawa pegawai-pegawai dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan sedang dalam perjalanan ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.

Perkhidmatan kereta api sepanjang 30 batu (50 kilometer) yang menjangkau dari selatan Philadelphia ke Wilmington, Delaware telah digantung, kata pegawai Amtrak.