Kemalangan lombong China ragut 19 nyawa

Kemalangan lombong China ragut 19 nyawa

BEIJING, 24 Mac (AFP) – Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dalam kemalangan lombong arang batu di China, dipercayai paling dahsyat pernah berlaku tahun ini, lapor media kerajaan.

Kemalangan berlaku semalam di lombong dekat wilayah utara Shanxi dimiliki Shanxi Datong Coal MineGroup, lapor agensi berita rasmi Xinhua.

Liga Pemuda Komunis wilayah itu, menerusi media sosial rasminya, menyatakan 129 pelombong bertugas ketika itu dan 110 terselamat manakala punca kejadian masih dalam siasatan.

China adalah pengeluar arang batu terbesar di dunia, dan kemalangan maut dalam sektor itu dianggap perkara biasa.

Pegawai kerajaan berkata, jumlah kematian di lombong negara itu jatuh dengan ketara sejak sedekad lalu, kurang daripada 1,000 setahun.

Difahamkan, banyak kemalangan berlaku disebabkan rasuah dalam kalangan majikan yang mencari keuntungan berbanding keselamatan pekerja.

China berikrar mengurangkan kira-kira dua juta peluang pekerjaan dalam industri arang batu dan keluli, yang mengalami lebihan kapasiti.

Seorang pengurus kanan di Shanxi Datong memberitahu AFP tahun lalu syarikat itu dipaksa untuk meningkatkan pengeluaran bagi menangani penurunan harga arang batu.

Sekurang-kurangnya 21 orang maut dalam kebakaran di sebuah lombong di wilayah timur laut Heilongjiang pada bulan November.

ARTIKEL YANG SAMA