Kemalangan ragut tiga nyawa

Kemalangan ragut tiga nyawa

KUCHING, 22 Ogos – Dua maut manakala seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kampung Munggo Limo, Jalan Serian-Sri Aman malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 7:51 malam dan menggerakkan pasukannya dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian ke tempat kejadian untuk memberi bantuan.

Katanya kemalangan itu membabitkan kenderaan jenis 4WD dan dua buah salun.

Beliau berkata dua orang yang menaiki kereta salun disahkan meninggal dunia iaitu kanak-kanak berusia tujuh tahun dikenali Olip anak Jones dan seorang wanita Sarina Anak Mut, 30.

Mangsa yang cedera parah pula Jones anak Gara, berusia 40-an, iaitu bapa kepada Olip.

Sementara itu, seorang lagi pemandu maut apabila kereta jenis salun yang dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah lori dalam kemalangan jalan raya di KM17 Jalan Kejatau, Lingga Sri Aman pagi tadi.

Sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman bergegas ke tempat kemalangan untuk memberi bantuan selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7:31 pagi tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat, lelaki itu yang berusia 39 tahun, dikenali sebagai Rhowdy anak Josh disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Hospital Sri Aman yang turut bergegas ke tempat kemalangan.

Katanya, anggota bomba terpaksa menggunakan alat penyelamat untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam keretanya.

Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. – Bernama