Kemarahan Mourinho dedah ketegangan Man United

Kemarahan Mourinho dedah ketegangan Man United

LONDON – Kemahiran pengurusan pemain bagi pengurus Manchester United, Jose Mourinho, kini di bawah penelitian selepas beliau kelihatannya menuduh secara terbuka dua orang pemain pertahanannya iaitu Luke Shaw dan Chris Smalling berpura-pura sakit.

Walaupun tidak menyebut kedua nama pemain itu, Mourinho jelas tidak gembira selepas kedua pemain itu terlepas kemenangan 3-1 United ke atas Swansea City baru-baru ini, menyatakan bahawa mereka menunjukkan tidak ada keberanian.

Beberapa akhbar British telah melaporkan bahawa Shaw dan Smalling kini ‘bertarung untuk masa depan mereka’ di Old Trafford.

Bek kiri, Shaw, 21, dikatakan ‘bingung’ dengan layanan yang diberikan oleh Mourinho, yang menggantikan Louis van Gaal sebagai pengurus United pada bulan Mei.

Pemain antarabangsa England itu baru sahaja melalui 11 bulan pemulihan selepas kecederaan patah kaki teruk yang dialaminya dalam satu perlawanan Liga Juara-juara ketika menentang PSV Eindhoven pada bulan September tahun lepas.

Phil Jones (kiri) dan Ashley Young merupakan pemain yang telah menggantikan tempat Smalling dan Shaw bagi perlawanan United dengan Swansea City pada 6 November. – AP
Phil Jones (kiri) dan Ashley Young merupakan pemain yang telah menggantikan tempat Smalling dan Shaw bagi perlawanan United dengan Swansea City pada 6 November. – AP
Mourinho kerap mengkritik pemainnya secara terbuka bagi menguji kecekalan mental mereka. – AP
Mourinho kerap mengkritik pemainnya secara terbuka bagi menguji kecekalan mental mereka. – AP
Southgate pula telah mempertahankan Smalling dan Shaw. – AFP
Southgate pula telah mempertahankan Smalling dan Shaw. – AFP

Beliau telah membuat penampilan pertama selepas pulih daripada kecederaan itu pada bulan Ogos, dan telah dilaporkan bahawa kesakitan akibat patah kaki itu timbul kembali ketika perlawanan Liga Europa di Feberbahce.

Mourinho berkata bahawa Shaw telah memaklumkannya bahawa beliau tidak dapat beraksi menentang Swansea pada sebelah pagi di hari perlawanan itu.

Mourinho juga mengkritik Shaw berikutan kekalahan 3-1 United kepada Watford pada bulan September, dan didapati bahawa pemain pertahanan itu bermain dengan masalah groin.

“Jarak bek kiri kami adalah 25 meter daripada pemain lawan, berbanding lima meter,” kata Mourinho selepas Shaw gagal mengawal rapat Nordin Amrabat ketika Watford membuat serangan yang menyumbang kepada gol kedua.

Smalling, 25, lebih cenderung untuk bermula untuk kesebelasan pilihan Mourinho apabila cergas, tetapi warga Portugal itu kelihatannya telah mula hilang sabar dengan pemain pertahanan England itu, yang sudah terlepas empat perlawanan kerana kecederaan kaki.

Kedua Shaw dan Smalling dikatakan bermain dengan menyuntik ubat penahan sakit pada musim ini dan pengurus sementara England, Gareth Southgate, telah mempertahankan kedua pemain itu ke atas tuduhan ‘tidak berani’.

‘Berlumuran darah’

Ditanya adakah kedua pemain itu ‘memanjakan diri’. Southgate memberitahu para wartawan bahawa beliau tidak berapa mengenali Smalling.

“Saya kenal Shaw dengan sangat baik dan beliau telah mengalami satu kecederaan teruk. Memang mudah dengan hanya melihat pada luaran atau membuat kesimpulan mengenai seseorang tanpa mengenali mereka dengan lebih dekat.”

Luke Shaw (kiri) dan Smalling ketika menjalani sesi latihan sebelum mengalami kecederaan.
Luke Shaw (kiri) dan Smalling ketika menjalani sesi latihan sebelum mengalami kecederaan.
Terjahan yang telah menyebabkan kaki Shaw patah dalam perlawanan Liga Juara-juara tahun lepas.
Terjahan yang telah menyebabkan kaki Shaw patah dalam perlawanan Liga Juara-juara tahun lepas.

Kedua Shaw dan Smalling telah diketepikan dalam skuad Southgate bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Scotland minggu ini dan seterusnya perlawanan persahabatan dengan Sepanyol.

The Sun melaporkan bahawa para pemain senior united telah menerima pendirian tegas Mourinho ke atas Shaw dan Smalling.

Mourinho telah dibawa masuk bagi mengembalikan kegemilangan United yang semakin malap selepas tiga musim yang mengecewakan di bawah kendalian David Moyes dan Van Gaal.

Beliau memang terkenal dengan konflik dan malah kerap mengkritik para pemainnya untuk menguji kecekalan mental mereka.

Ia adalah satu pendekatan yang menemui hasil yang bagus dalam era pertamanya bersama Chelsea, di mana para pemain seperti John Terry, Frank Lampard dan Didier Drogba sekutu yang tidak rasa gentar.

Terry, yang masih kekal bersama Chelsea, terkenal kerana mempertaruhkan badannya untuk pasukan dan pada 2010 beliau dikatakan telah mengambil suntikan anti-radang sebelum perlawanan selama lima tahun.

Mengimbas kembali kecederaan yang dialaminya dalam satu perlawanan menentang United pada April 2006, yang mana pergelangan kakinya berlumuran darah, beliau memberitahu bahawa Mourinho langsung tidak melihatnya.

Tetapi terdapat satu perasaan bahawa pendekatan Mourinho itu tidak berkesan kepada generasi pemain yang lebih muda dan ‘manja’ ketika beliau kembali ke Chelsea buat kali kedua, dan kini perkara itu mula dirasai di United.

Dengan united berada di kedudukan keenam dalam Liga Perdana, lapan mata di belakang pendahulu dan musuh ketat, Liverpool, para penyokong kelab tersebut harap formula Mourinho tidak ‘mansuh’. – AFP