Kemarau teruk jejas ‘ubur-ubur emas’

Kemarau teruk jejas ‘ubur-ubur emas’

KOROR, Palau, 4 Mei (AFP) – Satu kemarau teruk di Palau membunuh hidupan laut di tasik ubur-ubur yang popular di negara pulau itu, kata penyelidik, memaksa operator pelancongan membatalkan lawatan ke destinasi unik di Pasifik.

Tasek berhampiran ibu negeri Koror biasanya memberikan pengalaman tenang untuk pelancong, kebanyakannya dari China, yang mensnorkel dan mengapung di antara ubur-ubur emas yang tidak menyengat.

Namun dengan negara yang mempunyai 18,000 penduduk itu dalam cengkaman kemarau paling teruknya, ahli sains pada bulan lalu menganggarkan jumlah ubur-ubur telah merosot daripada lapan juta kepada kurang 600,000.

Operator bot seperti Sam’s Tours berkata walaupun angka tersebut adalah optimistik, meletak jumlah pada 300,000 dan kurang. Sam’s tidak lagi mengendali kunjungan ke tasik itu, biasanya salah satu tarikan utama Palau, dan empat daripada lima operator yang dihubungi oleh AFP pada minggu lalu telah mengamalkan dasar yang sama.

Gambar fail bertarikh 14 Januari 2015 menunjukkan ubur-ubur emas berenang di Tasik Ubur-ubur di Palau. - AP
Gambar fail bertarikh 14 Januari 2015 menunjukkan ubur-ubur emas berenang di Tasik Ubur-ubur di Palau. – AP

Palau mempunyai 160,000 pelawat asing pada tahun lalu, lebih separuh di antara mereka dari China, dan pelancongan adalah sumber pendapatan terbesar ekonomi. Kemarau, dimarakkan oleh corak cuaca El Nino, telah mengeringkan sungai dan empangan, sekali gus memaksa kerajaan mengisytiharkan keadaan darurat dan merayu bantuan luar negara.

Yayasan Penyelidikan Terumbu Karang berkata kekurangan air hujan telah menambah kemasinan dalam tasek, membunuh plankton yang memberi makan kepada ubur-ubur. “Jumlah obur-obur emas mungkin merosot, kepada tahap di mana tidak adanya orang dewasa berenang di sekitar tasek,” kata yayasan.

Ia berkata polip juvenil biasanya menjadi tidak aktif dan membiak semula apabila keadaan bertambah baik tetapi keadaan di tasek buat masa sekarang tidak pernah berlaku sebelum ini. “Kali ini keadaan adalah tidak pasti, kerana tidak ada sesiapa yang tahu keadaan El Nino/La Nina,” tambahnya.

Kerajaan negeri Koror berkata ia yakin Tasek Ubur-ubur akan kembali pulih seperti biasa pada akhirnya. “Ia adalah satu fasa dalam kitaran peristiwa semula jadi dalam ekosistem keseluruhan,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA