Kemaskini bilangan BPP 2011

Kemaskini bilangan BPP 2011

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) akan mengendalikan Kemas Kini Banci Penduduk dan Perumahan (KBPP) 2016 bagi Negara Brunei Darussalam bermula Mei hingga November 2016 ini.

Untuk itu, lebih 100 orang pegawai banci telah mengangkat sumpah dalam Majlis Mengangkat Sumpah bagi Kemaskini Banci Penduduk 2016 yang berlangsung di Dewan Persidangan Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini.

Hadir menyaksikan majlis mengangkat sumpah itu ialah Pengarah Bahagian Sumber Manusia JPKE, Lim Hong Huat.

Objektif utama KBPP 2016 ini adalah untuk mengemas kini bilangan dan maklumat penduduk yang telah diperoleh semasa Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) 2011 yang meliputi ciri-ciri demografi, pendidikan dan pekerjaan di samping mengemas kini bilangan dan senarai perumahan di seluruh negara bagi kegunaan banci dan kajian akan datang.

Pegawai banci mengangkat sumpah pada Majlis Mengangkat Sumpah bagi Kemaskini Banci Penduduk 2016.
Pegawai banci mengangkat sumpah pada Majlis Mengangkat Sumpah bagi Kemaskini Banci Penduduk 2016.

KBPP 2016 dilaksanakan dalam dua fasa dengan fasa pertama bermula bulan Mei hingga September 2016 dan secara berperingkat serta meliputi semua keluarga atau isi rumah termasuk penduduk sama ada rakyat Negara Brunei Darussalam, penduduk tetap atau penduduk sementara.

Manakala itu, fasa kedua bermula pada Oktober hingga November 2016 di mana ia akan melibatkan kira-kira 5,000 buah keluarga atau isi rumah yang dipilih secara rambang di beberapa buah kampung dan kawasan bagi mengumpulkan maklumat yang lebih terperinci mengenai ciri-ciri tenaga kerja.

Semasa fasa pertama dijalankan, pegawai banci yang dilantik akan melawat ke tempat-tempat kediaman di seluruh negara bagi tujuan penomboran rumah dan seterusnya akan memasang pelekat bagi setiap tempat kediaman.

Selain itu, pegawai banci juga akan menghantar surat makluman dan borang tanya banci kepada isi rumah.

JPKE juga berhasrat untuk menjalankan uji cuba kaedah mengisi dan mengembalikan borang tanya secara elektronik sebagai persediaan awal bagi pengendalian Banci Penduduk dan Perumahan pada tahun 2021. Walau bagaimanapun, uji cuba ini hanya akan dibuka kepada kumpulan sasaran tertentu yang telah dikenal pasti.

KBPP 2016 ini dijalankan di bawah Akta Banci, Penggal 78 dari Undang-undang Negara Brunei Darussalam. Akta Banci mewajibkan orang ramai menjawab semua soalan banci dan menjamin bahawa maklumat individu adalah sulit dan dirahsiakan.

Hasil yang diperolehi melalui KBPP 2016 akan dapat memberikan tanda aras baru bagi kegunaan penilaian, perancangan dan pembentukan dasar oleh pihak kerajaan, dan pelbagai tujuan penganalisisan dan penyelidikan oleh para pengguna lain.

Oleh yang demikian, sokongan dan kerjasama semua keluarga dalam memberikan maklumat yang tepat dan lengkap adalah sangat diharapkan bagi sama-sama menjayakan KBPP 2016 ini.

Sehubungan itu, JPKE menyeru orang ramai supaya dapat memberikan kerjasama kepada pegawai banci untuk memastikan KBPP 2016 ini berjalan lancar. Untuk pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi JPKE di talian 2230250 atau 2230265 pada waktu pejabat atau e-mel ke alamat population.census@jpke.gov.bn atau melayari laman sesawang www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA