Kemaskini perbincangan tangani jenayah

Kemaskini perbincangan tangani jenayah

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Bagi mengemaskinikan laporan perkembangan Pengawasan Kejiranan (PK) kepada para penghulu dan ketua-ketua kampung, satu perjumpaan di antara pegawai pemerintah Daerah Polis Temburong bersama penasihat PK di daerah ini bagi suku tahun pertama telah diadakan di Dewan Muafakat, Jabatan-jabatan Kerajaan, Daerah Temburong, kelmarin.

Hadir selaku wakil Pegawai Daerah Temburong ialah Penolong Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri cawangan Daerah Temburong, Pegawai Memerintah Kompeni ‘E’ 1 Bn, Tentera Darat Diraja Brunei, Perkhemahan Bangar dan dari Bahagian Institusi Mukim dan Kampung, Jabatan Daerah Temburong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, semasa perjumpaan tersebut, Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong, Penguasa Polis Mohammad Azrie bin Haji Talip dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyampaikan penghargaan terhadap sokongan padu ahli PK dan masyarakat setempat dalam menangani sebarang perbuatan jenayah di daerah tersebut.

Antara yang hadir pada sesi perjumpaan tersebut.
Antara yang hadir pada sesi perjumpaan tersebut.

Sementara itu, Pegawai Penguasa Balai Polis Bangar, Daerah Polis Temburong, ASP Pengiran Anak Haji Azzanuddin Aman Shah bin Pengiran Anak Ismail Al-Haj dalam laporannya pula menyatakan perkembangan terkini terhadap PK di daerah tersebut.

Turut dikongsi bersama ialah perangkaan kes jenayah bagi suku tahun pertama 2016, amaran serta corak jenayah, pandangan dan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh PK bersama Pasukan Polis Diraja Brunei melalui Balai Polis Temburong.

Perjumpaan itu juga turut diselitkan dengan sesi soal jawab bersama mereka yang hadir.

ARTIKEL YANG SAMA