Kemasukan FDI China meningkat 1.9 peratus pada November

Kemasukan FDI China meningkat 1.9 peratus pada November

BEIJING, 13 Dis (Bernama) – Pelaburan langsung asing (FDI) ke China meningkat 1.9 peratus tahun ke tahun kepada 64.9 bilion yuan pada November, lapor agensi berita Xinhua, kelmarin.

Pertumbuhan bagaimanapun perlahan berbanding peningkatan 4.2 peratus pada Oktober.

Buat kali pertama dalam tempoh 11 bulan, FDI, yang tidak termasuk pelaburan dalam sektor kewangan, berjumlah 704.3 bilion yuan, meningkat 7.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, katanya memetik data Kementerian Perdagangan.

Ia berkata pelaburan asing dalam industri perkhidmatan meningkat 18.8 peratus, dengan sektor perkhidmatan berteknologi tinggi menyaksikan lonjakan 51.7 peratus kepada AS$7.23 bilion.

Sektor pembuatan berteknologi tinggi menarik AS$8.54 bilion pelaburan asing dalam tempoh Januari-November, meningkat 11.7 peratus dan menyumbang 23.8 peratus daripada jumlah FDI dalam sektor pembuatan.

Agensi berita itu berkata pelaburan dari ASEAN, Kesatuan Eropah, Hong Kong dan Macau berkembang pesar manakala dari Jepun, susut dengan ketara.

Kementerian itu juga bekata lebih banyak firma sing melabur di China menerusi penggabungan dan pengambilalihan, yang menyumbang 14.7 peratus daripada jumlah FDI pada Januari-Oktober, meningkat daripada 5.6 peratus pada tempoh yang sama tahun lepas, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA