Kemasukan FDI ke China meningkat

Kemasukan FDI ke China meningkat

BEIJING, 11 Nov (Bernama) – Pelaburan langsung asing (FDI) ke China meningkat 4.2 peratus tahun ke tahun kepada US$8.77 bilion pada Oktober, Agensi Berita Xinhua melaporkan pertumbuhan merosot berbanding peningkatan 7.1 peratus pada September.

Bagi tempoh Januari-Oktober, FDI, tidak termasuk pelaburan dalam sektor kewangan, berjumlah AS$103.7 bilion, meningkat 8.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata agensi berita itu yang memetik Kementerian Perdagangan.

Xinhua berkata pelaburan asing dalam industri perkhidmatan meningkat 19.4 peratus, dengan sektor berteknologi tinggi menyaksikan lonjakan 57.5 peratus kepada AS$6.76 bilion.

Ia berkata pembuatan berteknologi tinggi menarik AS$7.58 bilion pelaburan asing sepanjang tempoh Januari-Oktober, meningkat 11.6 peratus dan menyumbang sebanyak 23.3 peratus kepada pelaburan asing dalam sektor pembuatan.

Pelaburan dari ASEAN, Kesatuan Eropah, Hong Kong dan Macao terus berkembang pesat, manakala pelaburan dari Jepun, Amerika Syarikat dan Taiwan merosot ketara, katanya.

Xinhua berkata kementerian itu juga berkata bahawa semakin banyak firma pelaburan asing melabur di China menerusi penggabungan dan pengambilalihan, yang menyumbang 15.4 peratus daripada jumlah FDI antara Januari-Disember, meningkat enam peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.

ARTIKEL YANG SAMA