Kemasukan pelajar baru UNISSA meningkat 24%

Kemasukan pelajar baru UNISSA meningkat 24%

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Julai – Sebagai sebuah universiti Islam tulen, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bukan saja semakin mendapat tempat di hati masyarakat setempat tapi ia juga semakin mendapat perhatian di peringkat serantau dan antarabangsa.

Ini dapat dilihat melalui pertambahan pelajar antarabangsa yang melanjutkan pengajian di UNISSA dari tahun ke tahun dan perluasan kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi serantau dan antarabangsa adalah manifestasikan di mana UNISSA boleh bergerak lebih jauh.

Ini seterusnya menjadikan UNISSA sebagai hab pengajian tinggi Islam di rantau ini pada masa akan datang, tekan Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal semasa berucap pada Majlis Amanat dan Ikrar Pelajar Baru UNISSA bagi Sesi Pengajian 2016/2017, di Dewan Jubilee, UNISSA, hari ini.

Bacaan ikrar telah diketuai oleh Awang Muhd Fuad bin Matahir, mahasiswa Tahun 1, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam.

Di majlis itu, beliau berucap di hadapan 324 orang mahasiswa dan mahasiswi yang berjaya diterima masuk untuk mengikuti pelbagai program pengajian di peringkat lepas Ijazah, Sarjana Muda dan Diploma di UNISSA pada sesi pengajian 2016/2017.

Dr. Haji Norarfan semasa menyampaikan ucapan pada majlis itu.
Dr. Haji Norarfan semasa menyampaikan ucapan pada majlis itu.

Beliau berkata, kemasukan pelajar baru ini menunjukkan peningkatan sebanyak 24 peratus berbanding pada tahun 20-15 hanya 260 orang pelajar saja.

“Melihat perkembangan semasa dan prospek masa depan UNISSA bersedia mengembangkan dan meluaskan fakulti dan pusat kecemerlangan akademik serta menawarkan lebih banyak program akademik yang lebih dinamik dan memenuhi keperluan semasa dan negara.

“Dengan terbinanya kampus kekal UNISSA ini akan menjadi mercu tanda kegemilangan Islam di Negara Brunei Darussalam yang akan dibina di Daerah Temburong sekali gus mempercepatkan dan memudahkan UNISSA mencapai impiannya sebagai sebuah universiti Islam tulen bertaraf antarabangsa,” jelasnya.

Majlis berkenaan adalah sebagai tanda pelajar-pelajar baru berkenaan secara rasminya diiktiraf sebagai warga kampus dan bermulanya memikulkan tugas dan tanggungjawab sebagai mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.

Beliau juga mengingatkan kepada pelajar baru supaya memahami serta menghayati apa yang terkandung dalam ikrar yang dilafazkan bagi membolehkan menjadi pelajar cemerlang dan mampu memberikan khidmat sepenuh hati serta ikhlas kepada agama, bangsa dan negara.

Awang Muhd Fuad mengetuai membaca ikrar pelajar.
Awang Muhd Fuad mengetuai membaca ikrar pelajar.

pg08_160727_c

Antara mahasiswa dan mahasiswi baru UNISSA melafazkan ikrar mereka.
Antara mahasiswa dan mahasiswi baru UNISSA melafazkan ikrar mereka.

Menurutnya, Minggu Ta’aruf ini pelajar didedahkan dengan pelbagai program dan taklimat mengenai hal ehwal pentadbiran UNISSA dan peraturan yang terpakai sebagai mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.

Selain itu, ia juga sebagai platform kepada pelajar untuk menyesuaikan diri dengan suasana kehidupan universiti serta menjalin ikatan silaturahim dan mengenali antara satu dengan lain.

Menurut beliau lagi, pelajar juga akan mengikuti kem ta’aruf yang menjurus kepada program kerohanian dan khidmat kemasyarakatan serta tidak diketepikan aktiviti riadah sepanjang Minggu Ta’aruf.

Beliau menegaskan, negara tidak mahu membentuk sebuah masyarakat yang cemerlang dan berilmu tapi kosong dari segi akhlak dan rohani atau dikenali sebagai sebuah masyarakat ‘Excellent Without a Soul’ yang akhirnya merosakkan tamadun sebuah masyarakat dan negara itu sendiri.

“UNISSA bukan sekadar melahirkan graduan cemerlang dalam akademik saja tapi menjadi hasrat UNISSA melahirkan graduan yang memiliki kecemerlangan secara holistik,” jelasnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA