Kemasukan pelajar vokasional, teknikal meningkat

Kemasukan pelajar vokasional, teknikal meningkat

Oleh Imelda Groves HA & Syahmi Hassan

 

pg01_160315_MMN_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Berdasarkan dapatan penilaian pelaksanaan prestasi SPN21 dan merujuk kepada statistik pelajar dari tahun 2009 hingga ke 2015 didapati bahawa kadar kemasukan pelajar ke sekolah-sekolah vokasional dan teknikal menunjukkan peningkatan.

Merujuk kepada soalan Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit pada Majlis Mesyuarat Negara yang memasuki hari ketujuh hari ini, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman menyatakan progresif data pada tahun 2009 mencatatkan kemasukan pelajar seramai 1,513 orang dan pada tahun 2015 jumlah ini meningkat kepada seramai 3,779 orang pelajar.

“Ini satu peningkatan yang amat menggalakkan. kita tidaklah mempunyai kadar-kadar tertentu yang ingin dicapai tetapi kita mahu setiap pelajar ada laluan untuk mengikuti kursus yang boleh membantu mereka mendapatkan pekerjaan dan menyumbang kepada negara,” jelas Menteri Pendidikan.

Mengulas cadangan untuk mengadakan pendidikan asas ilmu kemahiran kehidupan bermula dari peringkat sekolah rendah, Yang Berhormat Pehin berkata, buat pada masa ini tidak ada cadangan sedemikian.

Menurutnya lagi, ia difikirkan terlalu awal jika untuk diadakan di peringkat rendah dan adalah lebih bersesuaian jika di peringkat sekolah rendah mereka mempelajari mata-mata pelajaran asas yang membolehkan mereka meneruskan pelajaran ke peringkat menengah dengan lebih bersedia.

“Walau bagaimanapun asas ilmu kemahiran hidup ada diserapkan dalam rangka kerja kurikulum SPN21 dan dalam aktiviti-aktiviti pembelajaran pelajar seharian,” ujarnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA