Kemasukan penghijrah cetus kebimbangan

Kemasukan penghijrah cetus kebimbangan

LILLE, Perancis, 29 Julai (AFP) – Sekurang-kurangnya 1,500 penghijrah yang terdesak untuk sampai ke England melakukan percubaan baru untuk memasuki terminal Eurotunnel semalaman di bandar pelabuhan Perancis Calais, beritahu sumber polis kepada AFP hari ini, menambah satu orang ditemui mati.

“Kumpulan kami menemui satu mayat pada pagi ini dan anggota bomba telah mengesahkan kematian orang berkenaan,” tambah jurucakap untuk Eurotunnel.

Penghijrah itu, seorang lelaki berasal dari Sudan yang dipercayai berusia di antara 25 dan 30 tahun, dilanggar oleh sebuah trak yang sedang meninggalkan feri antara Selat, kata sumber polis.

Kematian terbaru itu membawa jumlah penghijrah yang meninggal dunia berhampiran tapak terminal Terowong Selat kepada sembilan sejak Jun.

“Segalanya berlaku semalaman, dan pada pukul 6 pagi, polis masih mempunyai banyak kerja untuk dilakukan,” kata sumber polis, menambah “di antara 500 dan 1,000 penghijrah” masih berada di tapak terowong itu.

Penghijrah dari Sudan membina sebuah tempat perlindungan dalam usaha mereka memasuki England. – AFP
Penghijrah dari Sudan membina sebuah tempat perlindungan dalam usaha mereka memasuki England. – AFP

Percubaan semalaman untuk menyerbu terminal Eurotunnel berlaku beberapa jam selepas kira-kira 2,000 penghijrah berusaha memasuki tempat berkenaan semalam, dalam apa yang digambarkan sebagai “usaha serbuan terbesar dalam tempoh satu setengah bulan lalu.”

Sementara itu, Perdana Menteri Britain David Cameron hari ini meluahkan kebimbangan mengenai percubaan 2,000 penghijrah untuk memasuki Britain dari bandar pelabuhan Perancis Calais menerusi Eurotunnel.

“Ia amat membimbangkan,” beritahunya kepada wartawan ketika satu lawatan ke Singapura, menambah “kami sedang bekerjasama erat” dengan pihak berkuasa Perancis untuk mengatasi situasi berkenaan.

Beliau menambah Setiausaha Dalam negeri Theresa May akan mempengerusikan satu mesyuarat jawatankuasa kecemasan kerajaan Cobra untuk membincangkan kejadian tersebut, yang berlaku semalam.

Cameron berkata Britain sedang “melakukan segala upaya” untuk mencegah kejadian sedemikian, termasuk melabur dalam pagar di sekitar kawasan tersebut, menambah beliau tidak mahu “menuduh orang.”

Menteri Dalam negeri Perancis Bernard Cazeneuve berada di London semalam untuk mengadakan rundingan dengan rakan sejawatannya mengenai cara-cara mengatasi isu penghijrah, yang telah menjadi duri dalam daging dalam hubungan Perancis-Britain bertahun-tahun lamanya.

ARTIKEL YANG SAMA