Kematian 3 sekeluarga disiasat

Kematian 3 sekeluarga disiasat

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Pasukan Polis Diraja Brunei masih menjalankan siasatan lanjut kes tiga sekeluarga yang ditemui telah meninggal dunia di berek kelamin Balai Polis Muara kelmarin (29 Ogos).

Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam, Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Haji Mohamad Noor bin Haji Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata, ketiga-tiga mangsa ialah warga tempatan iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun dan dua wanita berusia 33 dan 62 tahun.

Menurut beliau, polis belum dapat memastikan sama ada terdapat sebarang unsur khianat dalam kes tersebut dan masih menyiasat mengenai punca kematian.

Sementara itu, Balai Polis Bangar, Temburong hari ini menerima laporan mengenai seorang lelaki penduduk tempatan berusia 34 tahun, dilaporkan hilang di kawasan tebing Sungai Pandaruan, kira-kira pukul 9.40 malam tadi.

Setakat ini, kejadian masih lagi dalam siasatan polis dan punca hilang masih belum dapat dipastikan.