Kematian banjir, tanah runtuh meningkat 82

Kematian banjir, tanah runtuh meningkat 82

COLOMBO, 22 Mei (Xinhua) – Angka kematian dari kejadian banjir dan tanah runtuh Sri Lanka mencapai 82 hari ini sementara 500,000 orang lagi terjejas, kata Pusat Pengurusan Bencana negara itu (DMC).

Ketika hujan lebat berterusan di beberapa buah daerah sehingga Ahad, DMC berkata ancaman banjir dan tanah runtuh masih lagi berlaku di beberapa buah kawasan. Orang ramai diberi amaran untuk terus berwaspada dan berpindah ke kawasan lebih tinggi jika paras air di sungai–sungai utama terus naik.

Pasukan–pasukan penyelamat meneruskan usaha untuk memberikan bantuan dan air kepada orang ramai di kawasan–kawasan yang terjejas akibat banjir dan mereka yang perlu dipindahkan dibawa ke kem–kem selamat. Setakat ini, 200,000 orang telah meninggalkan kediaman mereka dan mendapatkan perlindungan sementara yang dibangunkan oleh kerajaan.

Bantuan perubatan juga sampai kepada orang ramai yang mengalami kecederaan dalam kejadian banjir dan tanah runtuh dan pegawai–pegawai kesihatan berkata terdapat ancaman penyakit bawaan air apabila paras air mula surut nanti.

Mangsa banjir Sri Lanka menolak kenderaan beca mereka dengan mengharungi air banjir di pinggir bandar Kolonnawa di Colombo Sabtu lalu. - AFP
Mangsa banjir Sri Lanka menolak kenderaan beca mereka dengan mengharungi air banjir di pinggir bandar Kolonnawa di Colombo Sabtu lalu. – AFP

Operasi mencari juga diteruskan di Aranyake, di Daerah Kegaale tengah Sri Lanka selepas kejadian tanah runtuh besar-besaran melanda pada malam Selasa lalu, mengakibatkan tiga perkampungan tertimbus.

Hari ini, tentera telah menemukan 14 mayat dan bahagian –bahagian tubuh dari 12 mayat dan usaha sedang diteruskan untuk mencari 141 lagi mayat yang tertimbus di bawah serpihan.

Bagaimana pun, usaha terjejas akibat hujan lebat, kata tentera.

Dalam amaran cuaca terbaru, Jabatan Meteorologi berkata hujan akan berterusan di beberapa tempat negara itu dan angin kencang juga akan berterusan di sepanjang kawasan pesisir.

ARTIKEL YANG SAMA