Kematian ke-32 akibat MERS di Korea Selatan

Kematian ke-32 akibat MERS di Korea Selatan

SEOUL, 28 Jun (AFP) – Korea Selatan hari ini melaporkan kematian ke-32 akibat virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) tatkala kadar kematian akibat virus tersebut terus meningkat walaupun kadar wabak nampaknya telah berkurangan.

Seorang lelaki berusia 55 tahun meninggal dunia semalam akibat MERS, menurut Kementerian Kesihatan, sambil meletak kadar kematian terbaru pada 17.5 peratus.

Ia meningkat daripada 15 peratus seminggu lalu dan 10 peratus dua minggu lalu, walaupun masih kurang daripada angka Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang meletak kadar kematian untuk penyakit tersebut pada kira-kira 36 peratus.

Lelaki itu didiagnosis pada 9 Jun selepas dijangkiti virus tersebut di Pusat Perubatan Samsung di Seoul, pusat wabak di mana kira-kira 90 pesakit, pelawat dan kakitangan perubatan telah pun dijangkiti.

Jumlah jangkitan masih tidak berubah pada 182 dan lima belas pesakit berada dalam keadaan kritikal, kata kementerian kesihatan.

Kakitangan stesen kereta api di Kowloon, Hong Kong, menjalankan kerja-kerja pembersihan sambil memakai topeng muka, selepas seorang remaja warga Korea Selatan mendapatkan rawatan perubatan di sebuah klinik di stesen tersebut. – AFP
Kakitangan stesen kereta api di Kowloon, Hong Kong, menjalankan kerja-kerja pembersihan sambil memakai topeng muka, selepas seorang remaja warga Korea Selatan mendapatkan rawatan perubatan di sebuah klinik di stesen tersebut. – AFP

Seramai 91 pesakit telah pun pulih dan dibenarkan keluar dari hospital, termasuk seorang semalam, menurut kementerian tersebut.

Pada hari ini, seramai 2,562 orang diletak di bawah kuarantin sama ada di pusat kerajaan atau di rumah, tambahnya.

Wabak bermula pada 20 Mei apabila seorang lelaki berusia 68 tahun didiagnosis setelah pulang daripada satu kunjungan ke Arab Saudi.

Sejak itu, virus berkenaan, di mana tidak terdapatnya vaksin, telah merebak pada kadar amat pesat di ekonomi keempat terbesar Asia, menjadi wabak terbesar di luar Arab Saudi dan mencetuskan kebimbangan awam di dalam negara dan di luar Asia.

Kerajaan Korea Selatan menghadapi kritikan kerana gagal menghentikan wabak berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA