Kematian ke-8 dikaitkan kerosakan pengembang beg udara

Kematian ke-8 dikaitkan kerosakan pengembang beg udara

WASHINGTON, 24 Dis (Reuters) – Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuh Raya Nasional AS berkata semalam bahawa kematian AS kelapan dikaitkan dengan satu kerosakan inflator(pengembang) beg udara Takata, menandakan kematian pertama yang dilaporkan sejak April dan yang kesembilan di seluruh dunia.

Agensi keselamatan kereta juga berkata ia menamakan seorang bekas pegawai Jabatan Keadilan AS yang menyelia penarikan balik beg udara dan kepatuhan firma alat ganti Jepun dengan satu penyelesaian.

Jurucakap NHTSA Gordon Trowbridge memberitahu wartawan pada satu persidangan akhbar bahawa kematian berlaku pada Julai dalam sebuah kereta coupe Honda Accord 2001 berhampiran Pittsburg, Pennsylvania.

Pemandu remaja yang tidak dikenal pasti itu dimasukkan ke hospital selepas beg udara Takata pecah. Remaja itu meninggal dunia beberapa hari kemudian.

Sumber yang rapat dengan perkara itu berkata kematian membabitkan seorang budak lelaki berusia 13 tahun yang terlibat dalam nahas pada awal pagi selepas beliau mengambil kunci tanpa kebenaran daripada ibu bapa dan memandu kereta berkenaan.

Polis Negeri Pennsylvania, dalam satu ringkasan yang dikeluarkan pada musim panas lalu, menunjukkan kejadian pada 22 Julai yang membabitkan seorang budak lelaki berusia 13 tahun yang sendirian dalam sebuah kereta Honda Accord 2001 yang terbabas ke kawasan berhutan pada pukul 4:46 pagi di Daerah Mercer di barat Pennsylvania.

Accord terjunam ke bawah tambak empat kaki, berjalan 315 kaki, kira-kira saiz sebuah padang bola sepak, dan seterusnya terlanggar sebatang pokok. Tidak disebut mengenai beg udara dalam kenyataan awam, yang berkata kejadian itu membabitkan seorang pemandu mabuk.

Trowbridge berkata Honda, unit Subaru Fuji Heavy Industries Ltd dan Mazda Motor Corp akan menambah ‘beberapa ratus ribu kenderaan’ kepada kempen penarikan balik berdasarkan ujian inflator tambahan.

Penarikan balik lanjutan untuk inflator bahagian penumpang termasuk Mazda 6 2005-2008, Honda CR-V 2003-2004 dan Subaru Legacy 2005-2008 dan Outback.