Kematian Mustafa salah IS – Hezbollah

Kematian Mustafa salah IS – Hezbollah

BEIRUT, 15 Mei (AFP) – Kumpulan militan Syiah Lubnan Hezbollah semalam menyalahkan pelampau Sunni kerana membunuh komander tentera tertingginya di Syria dan berikrar akan meneruskan pertempuran untuk mempertahan rejim Presiden Bashar al-Assad.

Sementara itu, kumpulan jihad Islamic State (IS) menawan sebuah hospital yang dikawal oleh kerajaan di timur bandar Deir Ezzor, sekali gus mencetuskan satu pertempuran dengan tentera pro-rejim di mana 59 pejuang terbunuh, kata pengawas.

Hezbollah telah menghantar beribu-ribu pejuang di Syria di mana Mustafa Badreddine telah memimpin campur tangannya dalam menyokong tentera Assad, yang juga disokong oleh Rusia dan Iran.

Badreddine, yang berada dalam senarai hitam keganasan AS dan dikehendaki oleh Israel, terbunuh dalam satu letupan pada malam Khamis berhampiran lapangan terbang antarabangsa Damsyik.

Hezbollah mengumumkan kematiannya pada Jumaat tetapi tanpa menyalahkan sesiapa, bertentangan dengan kelazimannya yang menuduh musuh ketat Israel bertanggungjawab.

Tentera-tentera Hezbollah mengusung keranda Mustafa Badreddine untuk dikebumikan. – AP
Tentera-tentera Hezbollah mengusung keranda Mustafa Badreddine untuk dikebumikan. – AP

Semalam, ia berkata satu siasatan telah menyimpulkan radikal Sunni Islam dikenali sebagai “takfiris,” yang menganggap Syiah sebagai orang yang mempunyai fahaman menyeleweng, telah membunuh Badreddine.

“Satu siasatan menunjukkan bahawa letupan yang menyasarkan salah satu kedudukan kami berhampiran lapangan terbang antarabangsa Damsyik yang membawa kepada pembunuhan saudara komander Mustafa Badreddine adalah berpunca daripada pengeboman meriam yang dilakukan oleh kumpulan takfiri di rantau itu,” kata kenyataan Hezbollah.

Ia tidak menamakan sebarang kumpulan yang khusus, dan tidak ada sesiapa yang mengaku bertanggungjawab. Hezbollah telah bertempur menentang penentang rejim Assad, termasuk pelampau Sunni daripada IS dan Barisan Al-Nusra, anggota gabungan Al-Qaeda Syria.

Satu sumber keselamatan Syria telah memberitahu AFP bahawa Badreddine berada dalam gudang berhampiran lapangan terbang apabila ia diletupkan pada malam Khamis.