Kematian pemimpin muda cetus kemarahan Kashmir

Kematian pemimpin muda cetus kemarahan Kashmir

SRINAGAR, India, 13 Julai – Apabila tentera India mengumumkan minggu lepas bahawa mereka telah membunuh seorang pemimpin pembangkang Kashmir yang terkenal, mereka menggelarnya satu kemenangan utama dalam memerangi militan-militan di rantau Himalaya yang dipertikaikan itu, bagaimanapun mereka tidak menjangkakan kesan terhadap kejadian itu yang telah menaikkan kemarahan orang awam, bantahan harian dan puluhan mati di jalanan.

Pembunuhan Burhan Wani mendorong puluhan ribu untuk bangkit dan memperbaharui permintaan bagi ‘azadi’, atau kebebasan, daripada pemerintahan India. Sekurang-kurangnya 29 orang telah terbunuh dalam beberapa pertembungan dan hospital-hospital kini bergelut dengan jumlah orang ramai yang cedera.

Setiap hari minggu ini membawa lonjakan baru bantahan oleh golongan muda, para penunjuk perasaan yang mengenakan seluar jean dan ikat kepala melontar batu melanggar perintah berkurung untuk berdepan pasukan keselamatan yang bersenjatakan peluru hidup, senapang pelet dan gas pemedih mata.

Para pegawai bimbang mereka secara tidak sengaja akan menghidupkan pemberontakan yang sukar untuk dikawal.

Golongan muda penduduk Kashmir mengadakan bantahan ke atas kerajaan India. – AFP
Golongan muda penduduk Kashmir mengadakan bantahan ke atas kerajaan India. – AFP

“Kami tidak menjangkakan reaksi besar daripada orang awam,” kata seorang pegawai keselamatan tertinggi yang terlibat dalam operasi itu, bercakap tanpa mahu dikenali disebabkan dia tidak dibenarkan untuk bercakap dengan para pemberita.

Terdapat tanda-tanda jelas rantau yang kebanyakannya dihuni oleh penduduk Islam itu sudah masak bagi pemberontakan baru meskipun sebelum kematian pemimpin pembangkang terkenal itu.

Wani telah disembunyikan oleh penduduk-penduduk kampung hampir puluhan kali sebelum ini, dan juga oleh pemberontak anti-India, apabila tentera-tentera menumpukan perhatian terhadap tempat persembunyian mereka di selatan perkampungan Kashmir, menurut pegawai keselamatan dan penduduk-penduduk setempat.

Kebanyakan dalam kalangan orang Kashmir berjumlah 12 juta orang itu melihat Wani, 22, sebagai wira rakyat yang berani mencabar tentera India, yang dikehendaki oleh ratusan tentera di rantau yang dipertikaikan itu. – AP