Kembali ke pangkal jalan

Kembali ke pangkal jalan

KUALA LUMPUR, 20 April – Selepas lima tahun hidup sebagai seorang mak nyah dengan penampilan persis seorang wanita, pondan jutawan kosmetik WisPutih akhirnya terbuka pintu hati bertaubat dan kembali ke pangkal jalan menjadi lelaki sejati.

Kisah Safiuddin Ilias, 22 tahun, atau terkenal dengan nama gelarannya Sofea Putih atau Safiey, mula menjadi viral di laman sosial sejak beberapa hari lalu selepas status di laman Facebooknya turut dikongsi oleh seorang pendakwah bebas terkemuka, Ali Rusia, lapor Kosmo semalam.

Antara coretan yang ditulis di laman Facebooknya, Safiey, yang berasal dari Pahang, meluahkan isi hatinya kepada pembantu perubatan peribadinya, Aery Yana, mengenai hasratnya berubah menjadi seorang lelaki.

Status tersebut mendapat reaksi yang positif daripada rakan-rakannya di laman media sosial dan ramai yang menyokong tindakan tersebut walaupun ada sesetengah pengguna laman sosial yang menyifatkan tindakan Safiey itu bertujuan melariskan perniagaannya.

Berkongsi lanjut perkara itu, Safiey berkata langkah pertama ke arah memperbetulkan langkahnya adalah dengan menjalani prosedur pembedahan mengeluarkan implan buah dada yang dimilikinya sejak berusia 19 tahun. Pembedahan itu telah dilakukan pada 16 April di Hospital Kuala Lumpur.

Safiuddin Ilias (tiga, kiri) ketika menjalani pembedahan membuang implan buah dada baru-baru ini. – Gambar dari Facebook Safiey Ilias
Safiuddin Ilias (tiga, kiri) ketika menjalani pembedahan membuang implan buah dada baru-baru ini. – Gambar dari Facebook Safiey Ilias

Dalam satu video yang dirakamkan Berita Harian Malaysia, lelaki berusia 22 tahun itu menceritakan detik baginya mahu berubah.

“Saya lihat beberapa jutawan lain di Malaysia popular yang menjual kosmetik seperti saya tidak meninggalkan solat dan mereka begitu tenang. Saya fikir, saya sudah diberi kemewahan, kenapa saya tak jaga solat saya? Saya rasa perlu jaga hubungan saya dengan Allah,” ujarnya.

Safiey dilaporkan menjadi jutawan pada usia 20 kerana perniagaan kosmetiknya dan mempunyai beberapa buah kereta termasuk Camry, Audi, Mini Copper dan Hummer yang dibayar secara tunai.

Safiey berkata beliau akan menggunakan asetnya untuk membantu golongan mak nyah lain kembali ke pangkal jalan.

Dalam masa yang sama, beliau berharap agar orang ramai tidak menggunakan agama untuk mencerca golongan transgender atau “mak nyah”.

Sebaliknya, kata Safiey, adalah lebih baik jika orang ramai membimbing dan berdakwah secara lembut.”