‘Kembali ke rundingan nuklear’

‘Kembali ke rundingan nuklear’

MOSCOW, 11 Mac (Reuters) – Rusia dan China memberitahu Korea Utara hari ini bahawa cita-cita nuklearnya tidak dapat diterima, menggesa Pyongyang untuk meneruskan semula rundingan berhubung program senjata nuklear dan mematuhi resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menegah ujian peluru berpandu balistik.

Menteri Luar Negeri Rusia, Sergei Lavrov dan Menteri Luar Negeri China, Wang Yi mempertingkatkan tekanan ke atas Pyongyang selepas mengadakan rundingan di Moscow sehari selepas Korea Utara menentang PBB dengan menembakkan dua peluru berpandu balistik jarak dekat ke laut.

“Kami tidak mengiktiraf status nuklear DPRK,” Wang memberitahu taklimat berita menerusi seorang penterjemah, menggunakan akronim rasmi bagi Korea Utara.

Korea Utara seharusnya mengimplementasikan resolusi PBB ‘sepenuhnya dan menyeluruh’, kata Wang. “Pada masa yang sama, kami tidak akan mensia-siakan usaha untuk kembali kepada rundingan enam hala,” tambahnya.

Sergei Lavrov (kanan) dan rakan sejawatannya China, Wang Yi berjabat tangan semasa sidang media berikutan mesyuarat mereka di Moscow, Rusia pada 11 Mac. – Reuters
Sergei Lavrov (kanan) dan rakan sejawatannya China, Wang Yi berjabat tangan semasa sidang media berikutan mesyuarat mereka di Moscow, Rusia pada 11 Mac. – Reuters

Pyongyang mempunyai simpanan besar peluru berpandu jarak dekat dan sedang membangunkan peluru berpandu jarak jauh dan antara benua.

Awal hari ini, agensi berita rasmi negara KCNA melaporkan pemimpin Korea Utara Kim Kong Un telah menyaksikan ujian pelancaran peluru berpandu balistik dan mengarahkan negara itu untuk meningkatkan keupayaan serangan nuklearnya dengan menjalankan lebih banyak ujian lagi.

Memberi komen atas cita-cita nuklear Korea Utara yang semakin memuncak itu, Wang mengatakan resolusi PBB terbaru menegah ujian nuklearnya harus ‘diimplementasikan secara terperinci’. “Kita seharusnya menyekat perkembangan selanjutnya ke atas senjata nuklear di DPRK,” katanya.

Lavrov Rusia mengatakan Moscow menganggap kelakuan Pyongyang ‘tidak bertanggungjawab’.