Kembali meriah

Kembali meriah

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jan – Kemeriahan hari pertama sesi persekolahan 2016 dirasai dengan pelbagai emosi terpancar di wajah murid Tahun 1 sekolah rendah dan menengah yang bermula hari ini.

Penggal persekolahan tahun ini mencatatkan kemasukan seramai 54,991 pelajar baru bagi peringkat rendah hingga pra universiti, dengan sekolah rendah mencatat 23,369 pelajar, menengah seramai 27,658 dan pra universiti seramai 3,964.

Dalam usaha melihat sejauh mana persediaan sekolah-sekolah dalam menerima kemasukan para pelajar setelah menjalani percutian, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan rombongan, hari ini, telah membuat lawatan ke dua buah sekolah rendah Kluster 3.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, lawatan yang juga bertujuan bagi melihat persediaan pelajar memulakan sesi persekolahan bagi Tahun 2016 yang bermula pada hari ini , telah dimulakan di Sekolah Rendah Dato Marsal (SRDM), Lambak, Kluster 3.

Ketibaan rombongan dialu-alukan oleh Pemangku Guru Besar SRDM, Dayang Ainon binti Haji Ompak dan Ketua Kluster 3, Dayang Siti Hawa binti Haji Mat Noor.

Menteri Pendidikan semasa meninjau sesi pengajaran dan pembelajaran di Sekolah Rendah Dato Basir kelmarin.
Menteri Pendidikan semasa meninjau sesi pengajaran dan pembelajaran di Sekolah Rendah Dato Basir kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi semasa meninjau sesi persekolahan di Sekolah Rendah Dato Marsal (SRDM), Lambak, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi semasa meninjau sesi persekolahan di Sekolah Rendah Dato Marsal (SRDM), Lambak, kelmarin.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom turut mengadakan lawatan kerja ke dua buah sekolah rendah kerajaan iaitu Sekolah Rendah Datu Mahawangsa Lambak dan Sekolah Rendah Dato Othman Lambak Kiri, kelmarin.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom turut mengadakan lawatan kerja ke dua buah sekolah rendah kerajaan iaitu Sekolah Rendah Datu Mahawangsa Lambak dan Sekolah Rendah Dato Othman Lambak Kiri, kelmarin.

Semasa berada di sekolah berkenaan, Yang Berhormat Pehin turut sama mengalu-alukan kehadiran pelajar di kawasan penurunan pelajar, sebelum mengikuti sesi perbarisan pagi dan turut sama menyanyikan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam “Allah Peliharakan Sultan”.

Seterusnya, Yang Berhormat Pehin dan rombongan dibawa melawat ke beberapa buah kelas bagi menyaksikan pembelajaran yang dijalankan pada hari pertama musim persekolahan bagi tahun 2016 ini.

Yang Berhormat Pehin dan rombongan kemudian meneruskan lawatan ke Sekolah Rendah Dato Basir (SRDB), Kluster 3 di mana ketibaan mereka dialu-alukan oleh Guru Besar SRDB, Pengiran Haji Mustafa bin Pengiran Haji Chuchu dan Dayang Siti Hawa.

Ketika berada di sekolah ini, Yang Berhormat Pehin dibawa meninjau pembelajaran yang dijalankan di beberapa buah kelas dan turut melawat perpustakaan sekolah.

Selain daripada perjalanan pengajaran dan pembelajaran pada hari pertama sekolah, turut mendapat perhatian Yang Berhormat Pehin adalah suasana kondusif persekitaran sekolah bagi merangsang semangat ingin hadir dan belajar khasnya pada permulaan tahun persekolahan ini.

Turut serta dalam lawatan ini ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman; Pemangku Pengarah Sekolah-sekolah, Awang Zaman bin Haji Gapar; Pengarah Jabatan Kenaziran, Dayang Nadia Lee Siew Hoon Abdullah; dan para pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar turut mengadakan lawatan kerja ke dua buah sekolah rendah kerajaan iaitu Sekolah Rendah Datu Mahawangsa Lambak dan Sekolah Rendah Dato Othman Lambak Kiri.

Lawatan pagi tadi bermula di Sekolah Rendah Datu Mahawangsa Lambak di mana ketibaan Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom dan rombongan dialu-alukan oleh Guru Besar, Hajah Rukiah binti Haji Burut.

Menerusi lawatan itu, Timbalan Menteri Pendidikan turut memberikan perhatian kepada kehadiran murid-murid di kawasan penurunan sekolah sebelum menyertai perbarisan pagi murid dan guru-guru yang dimulakan dengan ucapan alu-aluan hari pertama ke sekolah oleh guru besar sekolah tersebut.

Seterusnya, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bersama rombongan melawat beberapa buah bilik darjah bagi menyaksikan sesi permulaan sekolah di dalam bilik darjah.

Dari Sekolah Rendah Datu Mahawangsa Lambak, beliau serta rombongan seterusnya membuat lawatan ke Sekolah Rendah Dato Othman Lambak Kiri, di mana ketibaan mereka dialu-alukan oleh Guru Besar, Hajah Hafizah binti Haji Salat.

Lawatan dimulakan dengan tinjauan ke beberapa buah bilik darjah bagi menyaksikan sesi pembelajaran hari pertama di sekolah tersebut. Seterusnya, taklimat ringkas mengenai profil dan pencapaian sekolah tersebut disampaikan oleh guru besar sekolah dan lawatan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

Turut menyertai rombongan lawatan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh; Pengarah Jabatan Perkembangan Kurikulum, Haji Rahman bin Haji Nawi;, Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Jabatan Sekolah-sekolah, Haji Azis bin Haji Nayan; dan para pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan.

ARTIKEL YANG SAMA