Kembalikan kegemilangan Kuala Balai

Kembalikan kegemilangan Kuala Balai

KEBANYAKAN kita dengan mudah menerima yang baru dan melupakan yang lama. Sehingga kadangkala kita mengambil jalan mudah sama ada meroboh yang lama untuk membina yang baru (memakan belanja ratus ribu, malah berjuta ringgit) atau membiarkannya sehingga ditelan hutan belantara tanpa penghuni dan tanpa pemedulian.

Salah satu tempat ini, dulunya pernah merasa kegemilangan sebagai penempatan malah bandar utama di Daerah Belait. Sebelum membangunnya Kuala Belait, wujud Kuala Balai tempat tumpuan dengan sekolah, surau, perkampungan, tanah perkuburan malah kedai runcit untuk menampung kehidupan penduduknya.

Pada mereka, itulah tempat mereka yang diwariskan oleh nenek moyang mereka. Tempat itu juga merupakan sumber pokok rumbia yang pada satu masa dahulu merupakan pembekal utama ambulong yang apabila sudah tiba di dapur-dapur akan diolah menjadi makanan tradisi masyarakat kita, iaitu ambuyat (makanan ruji dan tradisi orang Brunei).

Pengaruh kehidupan di bandar serta wujudnya peluang pekerjaan di tempat lain sudah cukup untuk menyebabkan masyarakat muda belia Kuala Balai meninggalkannya demi kehidupan yang lebih terarah dan mewah. Dan bila komuniti penghuni yang sudah berusia menghabiskan saki-baki usia mereka di tempat yang pernah dianggap bandar utama Daerah Belait ini, mereka tidak dipedulikan malah industri ambulong yang menjadi kebanggaan mereka terbiar tanpa dipeduli, apatah lagi dikembangkan.

Pokok-pokok rumbia di sana terbiar menanti sesiapa yang sudi untuk menggarap hasilnya.

Kuala Balai sebenarnya berpotensi untuk masih mampu meraih kegemilangannya. Skim perumahan yang dibangunkan lebih sepuluh tahun yang lalu, beberapa kilometer dari tebing sungai dengan penghuninya yang lebih berpendidikan dan berpandangan jauh seharusnya berusaha untuk menjadikan Kuala Balai sebagai tempat tarikan masyarakat tempatan dan pelancong luar negara jika mereka bersatu hati mewarnai kewujudannya.

Jabatan Daerah, Jabatan Kerja Raya dan agensi-agensi kerajaan serta swasta yang berkepentingan harus sudah nampak peluang untuk mengembalikan kegemilangan Kuala Balai yang asal. Sudah sampai masanya Kuala Balai dibangkitkan daripada tidurnya untuk menempuh, mengecap dan menghadapi zaman kegemilangannya semula. Renungkanlah dan ambil tindakan yang wajar. – Ugan Brunei, Bandar Seri Begawan

ARTIKEL YANG SAMA