Kembang bakat anak muda pelbagaikan hasil produk

Kembang bakat anak muda pelbagaikan hasil produk

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Anak-anak muda khususnya para belia kampung perlu menonjolkan bakat mereka terutama dalam menghasilkan produk-produk kampung agar hasil produk kampung dikenali ramai sekali gus dapat meningkatkan nama baik kampung, khususnya kampung pedalaman di khalayak ramai.

Inilah yang dilakukan oleh ahli belia Majlis Perundingan Kampung (MPK) Merimbun, Dayang Nurul Rifhan Jee, 26, yang mempunyai bakat dalam bidang percetakan seterusnya mengembangkan bakatnya melalui hasil kraf tangan orang-orang kampung.

Menurutnya, beliau mengambil peluang untuk mengambil kursus di De Coutage, Tutong selama setahun untuk mempelajari cara-cara mencetak dan ternyata apa yang dibuat berbaloi. Bakat yang diperolehi tidak didiamkan begitu sahaja, bahkan beliau cuba mempelbagaikan hasil kraf tangan orang-orang kampung.

Sebanyak 50 buah beg kraf tangan dan gantung kunci hasil daripada penduduk kampung dan gabungan daripada hasil cetakannya telah dibawa mengikuti Jualan Satu Kampung Satu Produk (1K1P) dan Hasil Kraf Tangan, Pertanian serta Pameran Jabatan Penjara anjuran Jabatan Penjara yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 8 Mei di ruang legar, The Airport Mall, Berakas.

Dayang Nurul Rifhan Jee, wakil dari MPK Merimbun, mempunyai bakat dalam bidang percetakan seterusnya mengembangkan bakatnya melalui hasil kraf tangan orang-orang kampung.
Dayang Nurul Rifhan Jee, wakil dari MPK Merimbun, mempunyai bakat dalam bidang percetakan seterusnya mengembangkan bakatnya melalui hasil kraf tangan orang-orang kampung.

Ketika ditemui pada jualan berkenaan, Dayang Nurul Rifhan menjelaskan beliau tidak ingin mensia-siakan bakatnya dalam mempelbagaikan lagi hasil produk kampung terutama dalam kraf tangan dengan mengikuti usahawan muda dalam memperkenalkan produk kampung sekali gus dapat meningkatkan nama kampungnya.

Beliau mendapat idea mengikuti perusahaan menjual bakul kraf tangan orang-orang kampung apabila sentiasa mengikuti ahli keluarga yang juga aktif dalam MPK dan aktiviti-aktiviti perusahaan di Daerah Tutong seperti Foodcon dan berjual di Tamu Tutong setiap Khamis.

Di samping mempunyai bakat dalam bidang percetakan, beliau juga tidak berputus asa untuk mengajar orang-orang kampung agar hasil kraf tangan penduduk kampung tidak tenggelam begitu saja mengikut peredaran zaman.

Beliau berharap, perusahaan untuk mempromosikan kraf tangan orang kampung akan diteruskan lagi dari semasa ke semasa dan mempelajari lebih mendalam dan mempelbagaikan lagi hasil-hasil kraf tangan penduduk kampung.

ARTIKEL YANG SAMA