Kembang bakat penulisan

Kembang bakat penulisan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Dis – Bagi memeriahkan lagi kegiatan perpustakaan sempena cuti penggal persekolahan, di samping meningkatkan penglibatan belia dalam aktiviti-aktiviti bermanfaat, Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), cawangan Sengkurong dengan kerjasama Bahagian Seni Lukis dan Reka Bentuk DBP mengendalikan Bengkel Asas Melukis Karikatur yang berlangsung selama empat hari, bermula hari ini sehingga 10 Disember.

DBP cawangan Sengkurong dalam kenyataannya berkata, antara matlamat bengkel adalah untuk memberi pendedahan dan bimbingan asas serta memupuk minat dalam menghasilkan buku cerita kanak-kanak sebagai sumber tambahan bahan bacaan.

Selain itu, objektifnya juga adalah bagi merealisasikan visi dan misi DBP dalam meningkatkan penglibatan masyarakat menjayakan budaya ilmu dan membaca.

Ia juga merupakan wadah mengekalkan kesedaran dalam penyediaan perkhidmatan perpustakaan, mengenalkan dan memupuk minat dalam seni lukis serta membantu individu yang berminat mengembangkan bakat dan berkarya dalam menterjemah idea ke dalam bentuk penulisan serta seni lukis.

Suasana ketika bengkel itu diadakan.
Suasana ketika bengkel itu diadakan.

Bengkel berkenaan disertai oleh ahli-ahli perpustakaan DBP yang berumur di antara 10 hingga 25 tahun yang berdaftar di Perpustakaan DBP cawangan Sengkurong serta Perkhidmatan Perpustakaan Bergerak di sekitar Mukim Sengkurong dan kampung yang berdekatan.

Bengkel dikendalikan oleh Pegawai Bahagian Seni Lukis DBP selaku pemudah cara dan merangkumi enam sesi untuk tiga hari, yang mana pada hari ke-4, para peserta akan menyiapkan hasil karya mereka sebelum majlis penyampaian sijil dan hadiah pada sebelah petang.

Dalam bengkel ini, para peserta akan didedahkan kepada asas kepelbagaian rupa/karakter dan struktur wajah, bentuk badan/watak, mimik muka/ekspresi dan pergerakan, menyempurnakan hasil lukisan dan sesi praktikal.

ARTIKEL YANG SAMA