Kembang hubungan industri di ASEAN, Jepun

Kembang hubungan industri di ASEAN, Jepun

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei (DPPMB), baru-baru ini, telah menyertai Seminar Serantau Tiga Pihak mengenai Hubungan Industri kali ke-7 yang berlangsung di Pusat Latihan Antarabangsa Makuhari, Wilayah Chiba, Jepun pada 14 dan 15 September lalu.

Acara itu dianjurkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dengan sokongan daripada Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun.

Menurut kenyataan DPPMB yang dikeluarkan di sini, hari ini semasa seminar berkenaan, DPPMB telah diwakili oleh Setiausaha bagi Kebajikan dan Ahli Eksekutif DPPMB, Dayang Nur Judy binti Abdullah.

Beliau telah berkongsi tema seminar mengenai ‘Situasi Semasa Hubungan Perindustrian di Rantau ASEAN dan Mempromosikan Dialog Sosial dalam kalangan Perusahaan’.

Menurut kenyataan itu, seminar berkenaan bermatlamat untuk memberikan peluang kepada kerajaan-kerajaan, pekerja dan majikan negara anggota ASEAN untuk membincangkan dan berkongsi undang-undang, peraturan serta pengetahuan dan pengalaman yang membabitkan hubungan perindustrian dan bagaimana untuk mengembangkan lagi hubungan industri serta mengukuhkan dialog sosial dalam perusahaan.

Dayang Nur Judy ketika menyertai Seminar Serantau Tiga Pihak mengenai Hubungan Industri kali ke-7, di Jepun.
Dayang Nur Judy ketika menyertai Seminar Serantau Tiga Pihak mengenai Hubungan Industri kali ke-7, di Jepun.

Kementerian-kementerian buruh, majikan dan pertubuhan buruh di negara anggota ASEAN membentangkan kertas kerja negara masing-masing mengenai situasi semasa hubungan perindustrian, perkembangan terkini mengenai hubungan perindustrian termasuk yang berkaitan dengan perundangan dan amalan-amalan baik keharmonian perindustrian dan dialog sosial dalam kalangan perusahaan.

Dayang Nur Judy dipetik sebagai berkata, para peserta terutamanya Jepun kagum dengan inisiatif DPPMB dalam menganjurkan World Café Explore dan sesi dialog yang menghimpunkan hasil mengenai kepelbagaian ekonomi yang melibatkan cabaran-cabaran dalam perdagangan dan pelaburan dari sektor perniagaan dan pemegang amanah lain dalam mengukuhkan perkembangan ekonomi Brunei.

Di samping itu, penubuhan Darussalam Enterprise (DARE), sebuah pertubuhan berkanun yang bertujuan bagi membela dan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, dan inisiatifnya dalam melaksanakan beberapa dialog sosial yang melibatkan ahli-ahli DPPMB dan sektor PKS yang lain, berfungsi sebagai latihan baik bagi para peserta.

Para peserta seminar bergambar ramai di Pusat Latihan Antarabangsa Makuhari, Wilayah Chiba, Jepun.
Para peserta seminar bergambar ramai di Pusat Latihan Antarabangsa Makuhari, Wilayah Chiba, Jepun.

Para peserta juga mempunyai kumpulan kerja di mana perbincangan menumpukan ke atas cadangan bagi meningkatkan hubungan-hubungan industri di ASEAN dan Jepun serta bagaimana untuk menangani cabaran-cabaran yang dihadapi.

Selain itu, kumpulan juga membincangkan isu-isu dan cabaran dalam mempromosikan dialog sosial peringkat perusahaan dan sama ada mekanisme institusi boleh menjadi cara yang berkesan dalam mempromosikan dialog sosial peringkat perusahaan dan hubungan industri yang lebih baik.

Jurang antara amalan hubungan industri dan permohonan sebenar terhadap penggubalan undang-undang membabitkan hubungan industri juga dibincangkan.

Sesi khas juga diadakan mengenai pengajaran yang dipelajari daripada pengambilan pekerja dan langkah-langkah buruh bagi pemulihan gempa bumi besar timur Jepun dan bagaimana langkah ini menyumbang kepada pemulihan daripada bencana besar ketika Jepun masih lagi terdedah kepada bencana alam.

ARTIKEL YANG SAMA