Kembang kemahiran sosial, interaksi pelajar

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Seramai 20 orang pelajar berkeperluan khas, ibu bapa dan guru-guru MSI Sekolah Rendah (SR) Keriam, Tutong telah membuat lawatan ke Taman Mahkota Jubli Emas sebagai membuka tirai aktiviti lawatan 2018, baru-baru ini.

Sejurus tiba di taman tersebut, para pelajar berpeluang bermain di kawasan taman permainan dan bersiar-siar meninjau persekitarannya bersama keluarga.

Lawatan ke taman berkenaan merupakan salah satu aktiviti yang dirancang oleh MSI SR Keriam pada tahun ini yang mana setiap lawatan yang dijalankan menggalakkan penglibatan ibu bapa pelajar.

Selain itu, lawatan itu juga bertujuan untuk membuka minda pelajar dalam situasi pembelajaran yang berbeza dan bersantai sesuai dengan objektif lawatan iaitu untuk mengembang luaskan kemahiran sosial dan interaksi pelajar-pelajar.

Pelajar-pelajar berkeperluan khas, ibu bapa dan guru-guru MSI SR Keriam semasa mengunjungi Taman Mahkota Jubli Emas, baru-baru ini.

Ibu bapa yang menyertai lawatan tersebut menyatakan bahawa lawatan seperti itu adalah sangat berbaloi yang mana ia dapat dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar dan ibu bapa di samping dapat mengeratkan hubungan ibu bapa, anak-anak dan juga guru-guru.

Menerusi aktiviti tersebut, pihak MSI SR Keriam juga menganjurkan pertandingan fotografi (The best candid photo) pelajar-pelajar berkeperluan khas yang mana penggambaran dilakukan oleh Haji Shahrul Azrimin bin Haji Bidin yang merupakan bapa salah seorang pelajar MSI.