Kembang majukan industri kotej

Kembang majukan industri kotej

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun – Majlis Perundingan Mukim (MPM) Berakas ‘A’ dengan kerjasama Kampung Jaya Setia/Jaya Bakti, Jabatan Daerah Brunei Muara dan Jabatan Penjara, menganjurkan Ekspo Jualan Satu Kampung Satu Produk (1K1P) dan Hasil Kraf Tangan, Pertanian serta Pameran Jabatan Penjara di Pusat Membeli-belah Times Square, bermula hari ini hingga 7 Jun.

Pelancaran ekspo, yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu, telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam, selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap di KHEDN, Haji Idris bin Haji Mohd Ali, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta jemputan khas.

Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim dalam ucapan alu-aluannya berkata adalah menjadi harapan Jabatan Daerah Brunei dan Muara untuk mengembang majukan industri kotej, produk-produk kampung menjadi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sehingga dapat menjana ekonomi yang berdaya tahan dan membantu menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak kampung seperti mana yang terdapat di negara-negara jiran.

Katanya, ekspo jualan ini sudah setentunya akan memberikan pendedahan dan sukat-sukat kepada para pengusaha mengenai pasaran produk-produk yang diusahakan sama ada ia mempunyai pasaran untuk dikembang majukan atau sebaliknya.

Pameran menampilkan peralatan yang digunakan oleh Jabatan Penjara.
Pameran menampilkan peralatan yang digunakan oleh Jabatan Penjara.
Tetamu kehormat majlis menyaksikan hasil kraf tangan yang dijual.
Tetamu kehormat majlis menyaksikan hasil kraf tangan yang dijual.

“Usaha sama ini juga membolehkan Jabatan Penjara merealisasikan, mengaplikasikan dan memperkasakan kualiti program-program latihan vokasional penghuni-penghuni penjara dalam usaha memberikan kepakaran vokasional yang mempunyai pasaran bagi membolehkan penghuni-penghuni penjara sama ada untuk berusaha sendiri mahupun untuk mendapatkan pekerjaan, seterusnya mengurangkan kemasukan semula ke penjara,” jelasnya lagi.

Di samping produk 1K1P, ekspo turut mengetengahkan produk-produk kraf tangan dan pertanian yang dihasilkan oleh para penghuni semasa mengikuti program latihan vokasional, seperti pertukangan kayu, kimpalan, jahitan dan sebagainya.

Ekspo tahun ini bukan sahaja melibatkan Jabatan Penjara serta Majlis Perundingan Mukim Berakas ‘A’ malah pihak penjara juga menjemput Penjara Pusat Miri dan Penjara Limbang Sarawak untuk ikut serta. Ini antara lain bertujuan untuk mengeratkan lagi perhubungan dan perkongsian program pemulihan di antara kedua-dua buah negara.

ARTIKEL YANG SAMA