Kembang perniagaan di Indonesia

Kembang perniagaan di Indonesia

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) merealisasikan peranan dan usahanya untuk mengetengahkan dan mengembangkan usahawan muda tempatan ke pasaran antarabangsa yang kini telah membuahkan hasil.

Kejayaan sebuah syarikat anak tempatan, Mindplus Sdn Bhd, menerokai pasaran antarabangsa dan bimbingan yang diperolehnya daripada BEDB hingga dapat meluaskan perniagaan ke pasaran Indonesia merupakan sesuatu yang menarik untuk dijadikan senarai semak oleh bakal syarikat baru.

Sehubungan itu, media tempatan diberi kesempatan sekali lagi untuk menemu bual pemilik Mindplus Sdn Bhd, Awangku Mohd Khairi bin Pengiran Haji Metussin untuk mengupas rahsia beliau menggunakan daya kreatif untuk mencipta produk aplikasi pendidikan, mendapatkan rakan kongsi niaga yang berwibawa dan bentuk sokongan serta bantuan yang dibekalkan oleh BEDB dalam mempelajari selok-belok menubuhkan perniagaan di negara luar.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Penolong Ketua Pegawai Eksekutif BEDB, Daniel Leong dan Pengurus Perhubungan Pemegang Saham BEDB, Awang Firdaus bin Abdul Kadir.

Ketika bertemu pemberita di pejabat iCentre di Taman Teknologi Anggerek Desa, hari ini, Awangku Mohd Khairi yang telah membuka syarikat di Bandung, Republik Indonesia berkata, beliau memulakan perniagaannya atas keinginan untuk menjadi syarikat penerbitan terbesar di negara ini.

Awangku Mohd Khairi ketika ditemui di pejabatnya di iCentre.
Awangku Mohd Khairi ketika ditemui di pejabatnya di iCentre.

Namun, semua itu berubah setelah beliau diberi kesempatan oleh BEDB untuk menimba pengalaman selama enam bulan di Lembah Silikon di Palo Alto, Amerika Syarikat dan mengubah mindanya kepada menghasilkan produk yang berupaya memberikan impak kepada dunia.

Sepanjang berada di sana, dengan bimbingan iCentre, Awangku Mohd Khairi telah menimba pengalaman tentang apa yang harus dilalui oleh seseorang dalam mendirikan perniagaan usaha sama termasuk risiko yang bakal dihadapinya sebagai seorang usahawan.

Menceritakan mengapa syarikatnya memilih Indonesia sebagai pangkalan perniagaan usaha sama itu, adalah kerana tahap kesungguhan dan inisiatif yang tinggi syarikat di negara itu untuk berkembang bersama-sama syarikat dari luar tanpa bantuan daripada pihak kerajaan, di samping segmen pasaran bagi produk beliau yang begitu besar di Indonesia.

“Salah satu persiapan yang saya lakukan sebelum menembusi pasaran Indonesia ialah memahami apa yang harus dilakukan dahulu, dan jelas sekali saya perlu mendapatkan rakan kongsi yang sesuai dan benar-benar memahami pasaran produk yang saya hasilkan itu.

“Alhamdulillah, melalui sokongan dan bantuan BEDB seperti menguruskan prosedur menubuhkan perniagaan di Indonesia mengikut undang-undang penubuhan perniagaan di negara itu, saya dapat menumpukan lebih perhatian kepada menghalusi lagi produk aplikasi ilmu pengetahuan agama Islam bagi kanak-kanak sesuai dengan pasaran Indonesia,” kata beliau.

Ditanya mengenai penciptaan aplikasi itu dan kandungannya yang dijangka menemui pasaran pada 2016, Awangku Mohd Khairi menjelaskan, Mindplus Sdn Bhd yang dibantu oleh 15 kakitangannya akan mengeluarkan sebuah aplikasi pendidikan agama Islam, khusus bagi kanak-kanak.

Menurutnya, apa yang ingin dilakukannya adalah merevolusikan cara penyampaian pendidikan agama Islam menggunakan kaedah multimedia moden secara lebih menarik dan menyeronokkan, sambil menyerahkan cara penggunaannya kepada pasaran sama ada untuk digunakan oleh individu sebagai alat bantuan belajar atau digunakan di peringkat institusi sebagai alat bantuan mengajar.

Sementara itu, menjelaskan bentuk sokongan dan bantuan yang telah dihulurkan oleh BEDB kepada usaha Mindplus Sdn Bhd, Daniel Leong berkata, sebaik sahaja mengetahui akan potensi ciptaan Awangku Mohd Khairi itu, kakitangan BEDB terlibat, termasuk beberapa pegawai peringkat atasan, telah membincangkan langkah-langkah yang boleh dan perlu mereka ambil di peringkat awal bagi melancarkan penerokaan Mindplus Sdn Bhd ke pasaran luar.

Ini termasuk mengendalikan prosedur pengurusan di peringkat antara kerajaan kedua-dua negara dan mencarikan rakan kongsi dari luar yang dapat mengembangkan perniagaan itu.

“Sepanjang dua bulan yang lalu, pihak kami telah berusaha mendapatkan kerjasama kerajaan Indonesia dalam beberapa perkara seperti dalam pengurusan visa, imigresen, serta prosedur membabitkan kepentingan pemegang saham kedua-dua pihak.

“Sementara di peringkat syarikat pula, beberapa usaha membabitkan undang-undang dan perundangan bagi menubuhkan syarikat di Indonesia telah dilaksanakan dalam tempoh itu yang menyaksikan para pegawai kami menghubungi para pegawai agensi terbabit di Indonesia bagi melancarkan lagi prosedur penubuhan syarikat usaha sama itu,” jelas beliau.

Katanya lagi, perhubungan kedua-dua pihak itu merangkumi beberapa prosedur khusus tatacara penubuhan syarikat yang membabitkan pengasas bersama syarikat, pembahagian saham syarikat dan menentukan struktur syarikat hinggalah kepada menentukan nama rakan kongsi syarikat dan pengarah syarikat usaha sama itu.

Leong menegaskan, segala yang diusahakan BEDB terhadap daya saing Mindplus Sdn Bhd pada masa depan adalah mencari jalan untuk memaksimumkan peluang kejayaan setelah syarikat itu berjalan kelak, dan bukan untuk memaksimumkan kemungkinan pertikaian antara kedua-dua rakan kongsi.

Produk aplikasi pendidikan agama Islam ciptaan Mindplus Sdn Bhd yang kini di peringkat pelarasan terakhir akan disasarkan kepada pasaran Indonesia terlebih dahulu yang dijangka pada 2016 sebelum mengembangkannya kepada pasaran Islam di peringkat global.

ARTIKEL YANG SAMA