Kembang, rangsang sektor swasta

Kembang, rangsang sektor swasta

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Feb – Dalam iklim ekonomi yang tidak menentu dan harga minyak yang rendah, Negara Brunei Darussalam perlu menggandakan usaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara.

Oleh itu, salah satu matlamat Wawasan 2035 adalah bagi Brunei untuk mempunyai ekonomi yang dinamik dan mapan serta berada dalam kelompok 10 terbaik dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di dunia.

Dalam hubungan itu, Brunei perlu membangunkan KDNKnya bagi mencapai matlamat berkenaan di mana perlunya bagi negara untuk mengembangkan dan memperkasakan sektor ekonomi bukan minyak dan gas.

“Bagi merealisasikan hasratnya, adalah amat penting bagi kita untuk membangunkan sektor swasta negara,” jelas Timbalan Setiausaha Tetap (IT, e-Kerajaan & Perindustrian), di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Awang Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil semasa sesi taklimat bertajuk ‘Starting a Business: Towards a Pro-business Environment’, yang berlangsung di Auditorium, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Kampung Anggerek Desa, hari ini.

Menurut beliau lagi, pihak kerajaan amat komited dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk merangsang perkembangan sektor itu termasuk usaha memudahkan lagi iklim perniagaan negara bagi menggalakkan penyertaan lebih banyak usahawan muda tempatan untuk menerokai peluang-peluang perniagaan yang wujud di dalam negara.

Awang Muhammad Norshafiee menyampaikan kata alu-aluannya pada sesi taklimat ‘Starting a Business: Towards a Pro-business Environment’, di Auditorium, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Kampung Anggerek Desa.
Awang Muhammad Norshafiee menyampaikan kata alu-aluannya pada sesi taklimat ‘Starting a Business: Towards a Pro-business Environment’, di Auditorium, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Kampung Anggerek Desa.

Salah satu usaha tersebut adalah dengan penubuhan Darussalam Enterprise atau DARe iaitu sebuah badan berkanun yang berperanan untuk menangani dan mengasah kebajikan perusahaan tempatan supaya mereka mampu berkembang menjadi perusahaan yang dinamik serta mapan.

Awang Muhammad Norshafiee berkata lagi bahawa keunikan DARe adalah ia diwakili oleh sektor swasta dan kira-kira 80 peratus ahli-ahli lembaga pentadbir badan itu terdiri daripada ahli-ahli dari sektor swasta.

Pendekatan itu, menunjukkan bahawa pihak kerajaan adalah terbuka kepada cadangan dan pendapat daripada ahli-ahli sektor swasta kerana mereka lebih peka kepada cabaran-cabaran yang dihadapi di sektor swasta.

Menerusi kerjasama erat antara pihak kerajaan dan sektor swasta, cabaran-cabaran yang dihadapi oleh sektor itu boleh difahami dan tindakan yang bersesuaian boleh dilaksanakan bagi menangani cabaran berkenaan.

Pada masa yang sama, pihak sektor swasta juga mampu untuk memahami cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pihak kerajaan dan melalui sinergi itu, kedua belah pihak mampu untuk bekerjasama bagi menerajui pembangunan ekonomi negara.

Menyentuh mengenai sesi taklimat itu, beliau berkata ia menjadi pelantar untuk memulakan dialog di antara ahli sektor swasta khususnya usahawan tempatan dan agensi-agensi berkenaan mengenai pembaharuan yang telah dilaksanakan serta maklum balas daripada pihak usahawan untuk memperbaiki lagi iklim keusahawanan negara.

Bagi merealisasikan hasrat untuk memudahkan perlaksanaan perniagaan di Brunei, DARe akan melancarkan Pusat Sokongan Perniagaan (Business Support Centre) pada April ini nanti, yang bakal ditempatkan di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa di mana pusat itu akan beroperasi lima hari seminggu serta akan mengambil alih peranan Business Helpdesk.

Pusat itu dihasratkan untuk memudahkan lagi dan menjadi barisan hadapan yang disatukan untuk melaksanakan kesemua proses utama perniagaan bagi syarikat-syarikat serta perniagaan-perniagaan di Brunei.

Pusat itu juga akan menawarkan kesemua perkhidmatan yang relevan kepada semua jenis perusahaan pelbagai saiz sepanjang kitaran hidupnya daripada memulakan perniagaan, memohon permit, mendapatkan tanah perindustrian, membayar cukai serta lain-lain perkhidmatan.

Panel sesi soal jawab semasa sesi taklimat berkenaan.
Panel sesi soal jawab semasa sesi taklimat berkenaan.
Antara yang menghadiri sesi pertama taklimat berkenaan.
Antara yang menghadiri sesi pertama taklimat berkenaan.

Sesi taklimat yang diadakan dalam empat sesi iaitu pukul 10 pagi hingga 11 pagi, 11 pagi hingga 12 tengah hari, 2 petang hingga 3 petang dan 3 petang hingga 4 petang itu dianjurkan oleh Unit Ease of Doing Business (EODB) di bawah Jabatan Tenaga dan Perindustrian, di JPM (EIDPMO) dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Pendaftar Nama Perniagaan dan Syarikat (ROBCN).

Ia dihasratkan untuk memberikan kefahaman mengenai dengan proses semasa dalam memulakan perniagaan serta agensi-agensi yang berkenaan yang bertanggungjawab bagi proses berkenaan di Brunei Darussalam.

Sesi taklimat itu dihadiri oleh kira-kira 130 orang wakil dari pelbagai perusahaan tempatan di mana mereka berpeluang untuk mendapat penerangan mengenai langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan untuk memudahkan lagi suasana perniagaan menerusi pelbagai pembaharuan yang dilaksanakan termasuk pengecualian lesen perniagaan.

Semasa taklimat itu juga, mereka telah diberikan penerangan menggunakan beberapa contoh tatacara untuk memulakan perniagaan dan pelbagai proses yang diperlukan bagi memulakan pelbagai jenis perniagaan seperti persijilan halal bagi makanan yang diimport atau memulakan perniagaan restoran serta kebenaran bagi premis perniagaan oleh agensi-agensi relevan.

Taklimat juga menyaksikan sesi soal jawab yang disertai oleh ahli-ahli panel yang terdiri daripada Awang Muhammad Norshafiee, Pemangku Pegawai Bandaran Kanan, Pengiran Mohd Ariffin bin Haji Sabuddin, Pengarah ROCBN, Dayang Nurliati binti Haji Mohd Idris, Pegawai Pentadbir Kanan, KHEDN, Pengiran Haji Mohammad Ali bin Pengiran Haji Othman dan Urus setia Ease of Doing Business, Awangku Mohd Abdul Aziz bin Pengiran Ali Hassan.

Agensi-agensi lain yang turut membantu dan memberikan penjelasan kepada para usahawan termasuk Jabatan Buruh, Jabatan Bandaran, ABCi, Kementerian Pembangunan dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa.

Bagi mereka yang mempunyai sebarang isu berhubung dengan perniagaan, cadangan dan pertanyaan, adalah dialu-alukan untuk berhubung dengan Business Helpdesk secara dalam talian melalui laman sesawang, www.business.gov.bn atau berkunjung ke Business Helpdesk yang dibuka setiap Rabu dan Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 4 petang kecuali Jumaat di mana ia ditutup dari pukul 12 tengah hari hingga 2 petang bagi solat Jumaat.

Business Helpdesk tersebut terletak di Tingkat 1, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Simpang 32-37, Kampung Anggerek Desa.

ARTIKEL YANG SAMA