Kembang skop pembelajaran

Kembang skop pembelajaran

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Nov – Dalam abad ke-21 yang pesat berubah ini, amat penting untuk sentiasa meningkatkan keupayaan serta mempelajari mengenai sistem pengurusan yang terkini termasuk perkembangan pengurusan dalam bidang pendidikan yang membawa kepada pengurusan yang lebih efisien.

Oleh itu, usaha SEAMEO VOCTECH untuk membantu negara-negara anggotanya bagi mengenali dan menyelesaikan masalah bersama dalam Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pembangunan kapasiti, penyelidikan serta pembangunan dan perkhidmatan maklumat amat dialu-alukan.

Perkara itu dinyatakan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Chirdchu Raktabutr pada Penutup Program Latihan Serantau bagi Sistem Pengurusan Pembelajaran bagi Pengajaran dan Pembelajaran serta Program Latihan Dalam Negara bagi Sistem Pembelajaran Berasaskan Cloud bagi Pengajaran dan Pembelajaran, hari ini.

Sistem pengurusan pembelajaran masih baru serta berupaya untuk menjadikan pedagogi lebih efisien, oleh itu, adalah diharapkan bagi para pendidik untuk membiasakan diri mereka dan memahami sistem pengurusan itu daripada perspektif IT, jelasnya lagi pada majlis yang berlangsung di Dewan Seri Kerna, Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Gadong.

TYT Chirdchu berkata, beliau amat tertarik dengan sistem pengurusan pendidikan itu yang bukan sahaja mengutamakan pengajaran berasaskan kompetensi tetapi juga digabungkan dengan pendidikan dalam talian yang mengembangkan lagi skop pembelajaran dan pengajaran.

TYT Chirdchu (tengah), Haji Mohd Sharifuddin bersama para jemputan dan peserta hadir di majlis Penutup Program Latihan Serantau tersebut.
TYT Chirdchu (tengah), Haji Mohd Sharifuddin bersama para jemputan dan peserta hadir di majlis Penutup Program Latihan Serantau tersebut.
TYT Chirdhu ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta program latihan.
TYT Chirdhu ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta program latihan.

Beliau berkata bahawa masa depan pendidikan berada di tangan para peserta program dan beliau yakin mereka mempunyai keupayaan untuk membina masa depan pendidikan bagi generasi muda.

Terdahulu, Pengarah Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Haji Mohd Sharifuddin bin Haji Mohd Salleh dalam kata alu-aluannya menyatakan, amat penting untuk menyediakan para pendidikan dengan ilmu pengetahuan yang tepat untuk menyokong dan menguruskan kegiatan latihan.

Dengan adanya ilmu itu, para pendidikan boleh menumpukan dengan lebih baik dalam penyampaian perisian pengajaran mereka dan juga menghabiskan lebih banyak waktu mencurahkan kemahiran yang diperlukan kepada pelajar-pelajar mereka.

Pada majlis berkenaan, seramai 24 orang peserta dari negara-negara anggota SEAMEO iaitu Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, menerima sijil tamat latihan mereka daripada TYT Chirdchu Raktabutr.

Program latihan selama dua minggu itu bermula pada 7 November lalu dan dikendalikan oleh Fellow ICT SEAMEO VOCTECH, Awang Saiful Anuar bin Abdul Rahim dan kakitangan Sumber Luar SEAMEO VOCTECH, Dr. Foo Sze-Yeng, yang mana program itu bermatlamat untuk memberikan para peserta ilmu pengetahuan kemahiran dan sikap yang relevan untuk menggunakan sistem pengurusan pembelajaran secara efektif bagi pengajaran dan pembelajaran abad ke-21.

Semasa program latihan itu, para peserta kursus diberikan panduan mengenai pelaksanaan kemahiran teknologi dan pedagogi dalam membangunkan perisian pembelajaran yang diintegrasikan dalam sistem pengurusan pembelajaran bagi pengajaran dan pembelajaran.