Kembang usaha ke negara Asia

Kembang usaha ke negara Asia

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Syarikat perniagaan tempatan digesa memanfaatkan hubungan akrab Malaysia-Korea Selatan bagi mengembangkan usaha mereka ke negara Asia itu, termasuk menggunakan kelebihan teknologi yang dimilikinya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata ini penting berikutan kepesatan teknologi semasa yang bergerak pantas dan kerjasama dengan Korea Selatan dilihat mampu memudahkan pemindahan teknologi kepada Malaysia.

“Korea Selatan adalah negara berteknologi tinggi dan antara 10 negara utama dalam industri robotik.

“Malaysia tidak mampu mencapainya (kemajuan) dalam masa semalaman. Namun, kita boleh memulakannya dengan bekerjasama dengan mereka dalam bidang seperti perkongsian teknologi dan rantaian pengeluaran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) di sini, hari ini.

Program padanan perniagaan membabitkan 215 syarikat tempatan dan 64 dari Korea Selatan, dianjurkan bersama oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Persatuan Pengimport Korea Selatan (KOIMA).

Kedua-dua negara itu sudah menjalin hubungan diplomatik sejak 60 tahun lepas yang menyaksikan Korea Selatan muncul sebagai rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan nilai dagangannya mencecah RM56.28 bilion.

Sementara itu, Pengerusi KOIMA Myoung-Jin Shin berkata INSP itu adalah yang kedua dianjurkan bersama MATRADE dan terbukti terus berkembang berbanding hanya 12 anggota KOIMA menyertainya pada edisi pertama, 2010.

“Kali ini sebanyak 157 wakil daripada 64 syarikat berminat untuk menemui syarikat Malaysia.

“Kami berharap rundingan perniagaan kali ini akan membuahkan hasil dalam bentuk transaksi perniagaan bagi tahun-tahun akan datang,” katanya.

Ketika ini, KOIMA dianggotai seramai 8,500 ahli mewakili pelbagai sektor yang menyumbang kira-kira 85 peratus daripada import Korea Selatan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA