Kembangkan bakat penulisan tanah air

Kembangkan bakat penulisan tanah air

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 1 Dis – Bagi mengembangkan penulisan dan mengangkat sastera tanah air, Bahagian Bahasa dan Sastera, Badan Kesenian dan Kebudayaan (B2K) Daerah Tutong dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei telah mengadakan bengkel Penulisan Mega di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Tutong, hari ini.

Hadir sama pada majlis pembukaan bengkel berkenan ialah Pemangku Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab yang juga selaku Ketua Bahagian Sastera, Majalah dan Jurnal/Ketua Editor.

Semasa menyampaikan ucapan, Awang Suip melahirkan harapan agar bengkel ini akan dapat menampilkan bakat penulisan sekali gus dapat meningkatkan serta melahirkan penulis tanah air.

Beliau juga berharap para peserta dapat menggali ilmu daripada tokoh-tokoh penulisan tanah air seperti Dr. Chong Ah Fok dan Haji Abdullah bin Haji Mohd Tahir.

Pemangku Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, semasa menyampaikan ucapan di Majlis Pembukaan Bengkel Penulisan Mega.
Pemangku Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, semasa menyampaikan ucapan di Majlis Pembukaan Bengkel Penulisan Mega.
Dr. Chong Ah Fok semasa mengendalikan bengkel.
Dr. Chong Ah Fok semasa mengendalikan bengkel.

“Kebanyakan penulis-penulis muda pada masa ini banyak menulis dalam comfort zone. Mereka menulis hanya mengemukakan isu-isu persekitaran. Oleh itu, dengan bengkel yang diadakan ini, penulis-penulis muda akan dapat mengambil kesempatan untuk menulis secara lebih terbuka seperti menulis mengenai isu-isu semasa,” jelasnya.

Antara inti pati bengkel adalah mengenai ‘Cerpen Asas Penulisan’ yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Bahasa dan Sastera, Dr. Chong Ah Fok dan diikuti dengan bengkel ‘Sajak Asas Penulisan’ yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Penyelidikan, Penerbitan dan Arkib, Haji Abdullah.

Bengkel dihadiri oleh beberapa orang pelajar yang terpilih dari sekolah-sekolah menengah Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA