Kembangkan ilmu dengan praktikal

Kembangkan ilmu dengan praktikal

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Festival Bola Sepak Akar Umbi NFABD-FIFA 2016 di Padang Turf NFABD mendapat sambutan hangat apabila seramai 200 kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun menyertainya.

Kanak-kanak dari Sekolah Rendah (SR) Amar Pahlawan, SR Pulaie dan SR Delima Satu itu telah dilatih pelbagai aspek permainan bola sepak oleh seramai 31 orang jurulatih tempatan yang menyertai Kursus Kejurulatihan Akar Umbi FIFA 2016.

Festival dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan itu merupakan salah satu program dalam Kursus Kejurulatihan Akar Umbi FIFA yang menampilkan Instruktor FIFA, Dato Yap Nyim Keong dari Malaysia sebagai pemudah cara.

Festival yang berlangsung meriah dengan kehadiran ibu bapa dan penjaga kanak-kanak itu bermatlamat untuk menerapkan latihan sukan bola sepak secara teratur dan sistematik kepada kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun.

Kemuncak acara festival berkenaan ialah Majlis Penutupan Rasmi Kursus Kejurulatihan Akar Umbi FIFA yang menyaksikan kesemua 31 orang pesertanya menerima sijil kehadiran masing-masing daripada ExCo NFABD, Awang Morni bin Haji Zakaria.

Salah seorang peserta kursus ketika menerima sijil daripada Dato Yap dan Awang Morni (kanan)
Salah seorang peserta kursus ketika menerima sijil daripada Dato Yap dan Awang Morni (kanan)
Keriangan kanak-kanak bermain bolasepak semasa Festival Akar Umbi FIFA-NFABD berkenaan.
Keriangan kanak-kanak bermain bolasepak semasa Festival Akar Umbi FIFA-NFABD berkenaan.

Dalam ucapan penutupnya beliau menyeru kesemua peserta supaya jangan berhenti belajar dengan terus mengikuti kursus seumpamanya di masa akan datang. Beliau turut menasihatkan mereka supaya menggunakan ilmu yang diperolehi di sepanjang kursus bagi membantu NFABD mengembang majukan bola sepak akar umbi di negara ini.

Dato Yap pula dalam ucapannya menegaskan kepada peserta supaya menghargai sijil yang diperolehi dan tidak hanya disimpan sebagai perhiasan sahaja, kerana adanya sijil tersebut memberi makna bermulanya tugas mereka sebagai jurulatih pendidik.

Dato Yap turut memberikan penekanan bahawa sekadar mengetahui adalah tidak memadai kerana ilmu itu perlu diguna pakai dan sekadar ada kemahuan adalah tidak mencukupi kerana ia perlu dibuat dan dilaksanakan.