Kembangkan PKS tempatan

Kembangkan PKS tempatan

Oleh Salawati Haji Yahya & Sim Y.H.

Gambar oleh Sim Y.H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Pengusaha kecil dan sederhana (PKS) disaran terus mengembangkan produk mereka dan tidak hanya bertahan di peringkat mikro saja selama-lamanya.

Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong menekankan, jika masih tetap kekal di peringkat mikro sahaja, usaha yang diberikan oleh kerajaan tidak berbaloi dengan pelbagai program dan inisiatif yang sedia ada.

Menurutnya, apa yang dilihat pada masa ini, kebanyakan pengusaha masih kekal di peringkat mikro saja walaupun sudah 10 tahun dalam bidang perusahaan tersebut di mana dalam usia seperti itu sepatutnya ia perlu meningkat dan berkembang ke peringkat yang besar.

“Untuk menjadikan sesuatu produk itu menarik, perlunya melihat saingan di luar negara dengan menekankan kepada rasa, bungkusan dan boleh membekalkan setiap masa bukan hanya setahun sekali saja,” jelas beliau semasa ditemui pada Majlis Pelancaran Ekspo Kebudayaan dan Makanan, Flavours BIMP-EAGA & Beyond 2016 di The Airport Mall hari ini.

Ekspo tersebut mengetengahkan keunikan dan budaya dari negara-negara anggota BIMP-EAGA untuk kunjungan orang ramai dan akan diadakan sehingga 3 April 2016.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali menyempurnakan pelancaran buku masakan Spice Of Life: Recipes & Remedies selepas merasmikan Ekspo Kebudayaan dan Makanan, Flavours BIMP-EAGA & Beyond 2016 di The Airport Mall kelmarin.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali menyempurnakan pelancaran buku masakan Spice Of Life: Recipes & Remedies selepas merasmikan Ekspo Kebudayaan dan Makanan, Flavours BIMP-EAGA & Beyond 2016 di The Airport Mall kelmarin.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali turut menyarankan para pengusaha untuk sentiasa menjaga kualiti produk supaya ia sentiasa konsisten di samping terus berusaha memperbaiki dan meningkatkan kualiti sesuatu produk bagi menggelakkan ia mudah ditiru dan bertahan lama.

Menyentuh mengenai pelancongan sesuai dengan ekspo yang diadakan itu, beliau berkata, ia merupakan aktiviti yang baik dalam usaha mempromosi pelancongan kepada orang ramai.

Melihat kepada ekspo ini, beliau seterusnya memberi galakan kepada bahagian kedutaan untuk mengadakan aktiviti minggu negara masing-masing dalam usaha memperkenalkan pelancongan.

Pengerusi Eksekutif Majlis Perniagaan Brunei Darussalam BIMP-EAGA Pengiran Yura Kesteria bin PSN Pengiran Haji Mohd Yusuf dalam ucapannya berkata, makanan dalam pelancongan memainkan peranan penting dalam mengekalkan identiti serantau yang boleh dibanggakan dan yang lebih penting ialah mengujudkan peluang ekonomi kepada orang dalam rantau EAGA.

Beliau seterusnya melahirkan kepercayaan bahawa dengan adanya ekspo ini ia memberi sumbangan dalam menyediakan peluang perekonomian.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali turut menyempurnakan pelancaran buku masakan bertajuk ‘Spice of Life: Recipes & Remedies’ dan seterusnya menyaksikan pameran yang disertai oleh negara BIMP-EAGA.

Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dari Senandung Budaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan sepanjang ekspo ini, pelbagai aktiviti kebudayaan dipamerkan kepada orang ramai.

Sementara itu, seorang peserta ekspo iaitu Melline Jaini dari Brunei Halal ketika ditemui Media Permata menjelaskan, Ghanim International Corporations selaku pemilik jenama Brunei Halal dapat menyediakan perkhidmatan untuk membimbing pengeluar tempatan kepada apa yang diperlukan untuk dapat meneroka pasaran di luar Brunei.

Ujar beliau, Ghanim telah aktif mempromosikan jenama Brunei Halal sebagai penjenamaan premium bagi produk dan pensijilan Halal yang premium, pada masa ini juga Ghanim dalam proses membawa lebih banyak produk berkualiti tinggi dari luar negara dengan memberi tumpuan kepada kandungan makanan sihat serta berkhasiat seperti pengurangan penggunaan gula dalam makanan dan lain-lain.

“Dengan produk berkualiti tinggi dan penjenamaan serta pemasaran antarabangsa Ghanim ia memberi manfaat kepada produk tempatan,” jelasnya.

ARTIKEL YANG SAMA