Kembang,perluas pasaran pengguna

Kembang,perluas pasaran pengguna

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) – Pengembangan pasaran pengguna dan peluasan rangkaian pengeluaran di Asia akan terus menjadi daya penggerak utama dalam menggalakkan peningkatan perdagangan serantau dalam ASEAN.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan-kerajaan ASEAN untuk meningkatkan pelaburan, serta pembangunan infrastruktur, akan menyokong trend berkenaan.

“Langkah seterusnya dalam evolusi ASEAN sebagai satu blok ekonomi melangkaui perdagangan bebas ialah integrasi selanjutnya ekonomi negara-negara anggota, melalui konsep Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC),” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan dan Pameran PKS ASEAN 2015 di sini, Selasa.

Beliau berkata kini adalah masa bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di ASEAN memainkan peranan yang lebih besar, kerana mereka akan paling mendapat manfaat dari segi perdagangan dan pelaburan.

Muhyiddin berkata AEC akan mengubah ASEAN menjadi pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran, wilayah ekonomi yang sangat kompetitif, rantau ekonomi yang adil yang diintegrasikan sepenuhnya ke dalam ekonomi global.

Beliau berkata PKS di rantau ini juga akan mendapat manfaat daripada Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), yang dijangka ditandatangani antara ASEAN dan rakan perdagangan bebas semasa termasuk China, Jepun dan Australia.

Rundingan RCEP dijangka dimuktamadkan pada akhir tahun. Muhyiddin berkata pembangunan Rangka Tindakan AEC telah membimbing Malaysia mencapai sasaran yang diharapkan oleh negara.

“Pelan tindakan itu mempunyai pendekatan strategik khusus untuk Pembangunan Ekonomi Saksama PKS.

“Mengenai masa depan, dari 2016 hingga 2025, sasaran strategik baru sedang dirancang. Sasaran ini akan memberi tumpuan kepada inovasi, teknologi dan produktiviti. Mereka akan menggalakkan pembangunan usahawan dan PKS yang menyediakan nilai yang lebih tinggi dalam rantaian bekalan global,” katanya.

Persidangan dan pameran tiga hari itu yang bermula hari ini, dianjurkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersama SME Corp.

Bertemakan ‘Satu Perniagaan, Satu Komuniti’, acara itu menarik penyertaan lebih 100 PKS ASEAN dan 200 PKS Malaysia, untuk memudahkan pertukaran maklumat perdagangan dan mewujudkan sinergi lebih daripada 450 mesyuarat padanan perniagaan.