Kembar ‘bersatu semula’ selepas tujuh dekad

Kembar ‘bersatu semula’ selepas tujuh dekad

WARSAW, 28 Ogos – Adik-beradik kembar yang terpisah sejurus selepas mereka dilahirkan di Jerman pada tahun 1946 oleh bekas buruh paksa Poland berjaya disatukan semula, menurut Palang Merah Poland semalam.

Adik-beradik kembar berkenaan dihantar ke Poland pada tahun selepas mereka dilahirkan dan diletakkan di rumah penjagaan kanak-kanak apabila ibu mereka sakit tenat. Kedua-dua mereka kemudian diambil sebagai anak angkat oleh keluarga yang berbeza.

Salah seorang kembar, George Skrzynecki, mendapat tahu ketika berusia 18 tahun melalui sepucuk surat bahawa ibu kandung sedang mencarinya sejak bertahun-tahun lepas dan dia mempunyai seorang adik.

Beliau kemudian melakukan siasatan lanjut dan mendapati bahawa ibunya sudah meninggal dunia pada 1952, tetapi usaha pencarian bagi adik kembarnya menemui kegagalan.

Skrzynecki berhijrah ke Amerika Syarikat dalam tahun 1970an, memulakan keluarga sendiri di sana dan sudah berputus asa untuk mencari saudara kembarnya.

Wajah ceria George Skrzynecki (kiri) dan Lucjan Poznanski (kanan) ketika pertemuan mereka di lapangan terbang Warsaw di Poland.
Wajah ceria George Skrzynecki (kiri) dan Lucjan Poznanski (kanan) ketika pertemuan mereka di lapangan terbang Warsaw di Poland.

Kedua-dua mereka disatukan semula berikutan usaha oleh seorang wanita muda yang merujuk kepada Palang Merah Poland bagi mendapatkan bantuan untuk mencari semula bapa keluarga itu. Lelaki itu, Lucjan Poznanski, rupa-rupanya adalah adik beradik kembar yang dicari oleh Skrzynecki sejak bertahun-tahun lamanya.

Pertemuan semula itu berlangsung dengan penuh emosi di lapangan terbang Warsaw, kata Palang Merah. Ia adalah kali pertama dalam tempoh 68 tahun adik beradik tersebut bersua muka. Sebelum itu mereka terpisah dengan jarak yang jauh.

“Saya mahu tahu semua mengenai kehidupan Lucjan dan memberitahu cerita mengenai saya,” George Skrzynecki berkata semalam melalui televisyen badan penyiaran Poland, TVP Info. – dpa

ARTIKEL YANG SAMA