Kembar perolehi kejayaan 5A dalam PSR

Kembar perolehi kejayaan 5A dalam PSR

Oleh NAJ

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Dis – Dua beradik kembar dari Sekolah Rendah Mabohai telah membuat ibu bapa dan pihak sekolahnya gembira apabila kedua-duanya memperolehi Gred A bagi semua mata pelajaran dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) tahun 2015.

Kejayaan Awang Irfan Iman bin Mansor dan adik kembarnya, Dayang Irma Sarah itu merupakan hadiah paling berharga kepada kedua ibu bapa mereka dan juga guru-guru yang bertungkus lumus dalam memastikan persiapan mereka menjelang peperiksaan tersebut.

“Tanpa ilmu yang dicurahkan mereka (guru), siapalah kami. Kami amat menghargai segala pengorbanan yang dicurahkan mereka dalam mendidik kami tanpa mengenal erti jemu dan putus asa,” ujar mereka.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa juga memainkan peranan lebih utama sebagai tonggak kepada setiap kejayaan yang diperolehi, kerana tanpa sokongan dan restu doa mereka, sesuatu kecemerlangan bukan mudah untuk diperolehi.

Awang Irfan Iman dan adik kembarnya Dayang Irma Sarah bersama ibu bapa mereka.
Awang Irfan Iman dan adik kembarnya Dayang Irma Sarah bersama ibu bapa mereka.

Pihak sekolah khususnya para guru-guru juga tidak jemu memainkan peranan dalam membantu para pelajar meraih kecemerlangan, dengan mengadakan kelas tambahan dan latihan berterusan termasuklah pada hari-hari kelepasan awam dan cuti sekolah, bagi memastikan kejayaan yang cemerlang dicapai oleh pelajar-pelajar mereka. Malahan terdapat juga sebilangan guru yang sanggup mengajar pelajar-pelajar di rumah mereka dengan menyediakan setiap keperluan pelajar tersebut.

Sementara itu, ibu bapa pelajar tersebut, Awang Mansor bin Haji Ibrahim dan isterinya, Hajah Juriah binti Haji Belaman turut mengongsikan kejayaan anak-anak mereka ini, yang menurut Awang Mansor, sebagai ibu bapa perkara utama mereka lakukan adalah memata-matai aktiviti pembelajaran anak-anak mereka.

Mereka sentiasa memastikan anak-anak mereka mengulang kaji pelajaran ketika di rumah iaitu selepas sembahyang Fardu Maghrib selama dua jam. Waktu tidur anak-anak mereka pula turut dipastikan sebelum pukul 10 malam, bagi memastikan mereka bangun pagi keesokan harinya dalam keadaan yang segar dan dapat memulakan pembelajaran dengan tenang.

Selain itu, tambahnya, mereka juga menasihati anak-anak supaya memberi tumpuan sepenuhnya dalam pembelajaran semasa dalam kelas, di samping dengan pendedahan teknik pembelajaran dan pengurusan masa yang betul dan bersistematik.

Menyentuh mengenai penilaian Check Point Test yang diadakan empat kali, bagi Awang Mansor, transkrip yang mereka perolehi dan dibincangkan bersama guru-guru semasa sesi perjumpaan dapat menolongnya melihat sudut dan ruang di mana anak-anak mereka perlukan bimbingan dan bantuan.

Segala kelemahan dan kekurangan akan dibincangkan dengan guru-guru semasa sesi perjumpaan itu.

Awang Mansor dan isterinya turut mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak sekolah di atas segala inisiatif dan kerja keras yang diungkayahkan oleh guru besar dan guru-guru sekolah berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA