Kembara Dorot...

Kembara Dorothy menyelusuri alam Land of Oz

ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD

 

KISAH yang ditampilkan dalam buku The Wonderful Wizard of Oz karya penulis Amerika, L. Frank Baum memang cukup popular di kalangan kanak-kanak sejak tahun 1900.

Berikutan daripada populariti yang berjaya diraih oleh karya tersebut telah membuatkan ia turut terpilih untuk diadaptasi ke dalam bentuk filem seperti The Wizard of Oz pada tahun 1939 dan Oz the Great and Powerful pada tahun 2013.

Kini, kisah tersebut sekali lagi diadaptasi ke dalam bentuk siri drama yang menampilkan elemen fantasi berjudul Emerald City.

Berpegang kepada pengalaman mengarah sebuah filem fantasi iaitu Mirror Mirror, Tarsem Singh kembali menggalas tugas tersebut dalam siri drama Emerald City yang dibintangi oleh Adria Arjona, Oliver Jackson-Cohen, Ana Ularu dan ramai lagi.

Di samping itu, siri drama ini turut dijayakan bersama oleh Trisha Biggar yang mereka pelbagai kostum pakaian menarik dan Pengarah Penggambaran yang sangat bijak dalam pemadanan latar iaitu Colin Watkinson.

Emerald City merupakan sebuah siri drama yang menampilkan elemen fantasi.
Emerald City merupakan sebuah siri drama yang menampilkan elemen fantasi.

Pada dasarnya, Emerald City ini mengisahkan mengenai Dorothy Gale, seorang jururawat berusia 20 tahun yang secara tidak sengaja berada di dalam dunia fantasi, Land of Oz setelah berlakunya kejadian puting beliung di Lucas, Kansas.

Setentunya Dorothy berasa terkejut tatkala menjejakkan kaki di dunia fantasi tersebut namun ternyata kehadiran beliau telah diketahui dengan lebih awal oleh penduduk Land of Oz tersebut.

Namun dalam ramai yang mengalu-alukan kehadirannya tentu ada juga sesetengah pihak yang beranggapan bahawa kehadirannya ke alam fantasi tersebut sebagai satu malapetaka.

Golongan yang berpandangan negatif itu rata-rata terdiri daripada kumpulan ahli sihir jahat yang tidak menyenangi kehadiran Dorothy kerana beranggapan bahawa kehadiran gadis itu hanya akan menggagalkan rancangan jahat yang telah mereka rencanakan.

Justeru apakah kesudahan nasib Dorothy itu di alam fantasi dan untuk mengetahui jawapan tersebut anda harus menonton siri drama Emerald City sehingga ke penghujungnya,

ARTIKEL YANG SAMA