Kembara ibadah telusur 4 daerah

Kembara ibadah telusur 4 daerah

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Dis – Sempena cuti persekolahan penggal ketiga yang baru bermula 1 Disember lalu, pelbagai kegiatan berfaedah bagi mengisi masa lapang pelajar telah dirancang.

Sehubungan dengan itu, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Bahagian Keagamaan telah mengadakan aktiviti pendidikan tidak formal untuk ahli Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana lelaki.

Program yang dinamakan Jejak Masjid 4 di Masjid Kampung Puni, Mukim Bangar, Daerah Temburong itu diadakan sebagai kesinambungan program Jejak Masjid 1 di Masjid Kampung Sungai Teraban, Daerah Belait pada 28 hingga 30 Mac lalu, Jejak Masjid 2 di Masjid Kampung Benutan, Daerah Tutong dari 12 hingga 14 Jun lalu dan Jejak Masjid 3 di Masjid Kampung Panchor Murai, Mukim Pengkalan Batu, Daerah Brunei-Muara.

Bagi Jejak Masjid 4 itu, seramai 25 orang ahli PPNBD bersama para belia Kampung Puni sama-sama menjayakan program selama tiga hari dua malam itu.

Tetamu kehormat bergambar ramai bersama para peserta program.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama para peserta program.

Pelancaran program itu telah disempurnakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Adam bin Haji Tengah.

Turut hadir pada majlis pelancaran berkenaan ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali, Naib Yang Di-Pertua PPNBD, Haji Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba selaku Pengerusi Persatuan Pengakap Daerah Temburong, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Temburong/Penghulu Mukim Bangar, Haji Abdul Rahman bin Merusin, Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Temburong/Penghulu Mukim Batu Apoi Penghulu, Haji Matzain bin Haji Awang, para pesuruhjaya pengakap, pegawai pengakap dan pemimpin pasukan pengakap.

Sepanjang program berkenaan, para peserta berpeluang membuat lawatan sambil menghayati keindahan alam, berkhidmat secara sukarela kepada masyarakat setempat, mengikuti kuliah atau ceramah agama di masjid-masjid yang dijejaki di samping mendapat maklumat tentang asal-usul kampung, perkembangan agama, sejarah pembinaan masjid dan sebagainya.

Di samping itu, peserta program juga dibawa melawat ke Balai Raya Kampung Puni bagi mendengar taklimat dan melihat tunjuk cara membuat telur asin yang disampaikan oleh Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Puni sebagai produk utama kampung tersebut dalam program 1 Kampung 1 Produk (1K1P). Peserta juga berkesempatan melawat Karnival Sejarah di Dewan Belalong, Pekan Bangar.

Acara kemuncak program ialah Majlis Khatam Al-Quran selepas peserta program memulakan bacaan surah Al-Quran dalam program Jejak Masjid 4.

Program ini berkonsepkan Kembara Ibadah dengan menjejak ke masjid-masjid yang memfokuskan kepada menjaga lima waktu bagi menunaikan sembahyang fardu yang wajib.

Kembara ini juga dijangka akan menjejak ke masjid-masjid dalam negara di keempat-empat daerah dan berkemungkinan akan menjejak ke luar negara untuk memperolehi pengalaman baru, bergantung kepada peluang dan keupayaannya.

ARTIKEL YANG SAMA